Sunday, October 8, 2017

From Bangi to Seri Iskandar


Masjid An-Nur [Sumber: link]

Alhamdulillah, sudah tujuh hari saya berada di sini, di Tronoh, atau Seri Iskandar, atau mana-manalah sebab saya pun kecelaruan juga saya ini duduk di Tronoh atau Seri Iskandar hahaha.

Ini kali pertama saya membawa diri seorang diri, tanpa keluarga yang membantu, tanpa teman di sisi.

Oh dan ini kali pertama saya naik bas Terminal Bersepadu Selatan. Serius rasa macam kekok sangat sebab tak pernah ke tempat baru. Pelbagai perasaan bercampur aduk. Seriau, seram, teruja, takut. Haha.

Masih teringat lagi lagu dalam bas yang liriknya lebih kurang, 


Dalam kehidupan ini yang terindah nananana usia remaja…” 


Selalu juga saya dengar lagu lama tu di corong radio cuma tak kenal nama penyanyi dan tajuk lagunya. Sepanjang lagu tu diputarkan dalam perjalanan saya dari TBS ke Seri Iskandar, saya seolah-olah menghayati lagu itu. Lagu fasal remaja, dan saya yang masih remaja muda ini memang masuklah dalam lirik lagu tu.

Berjauhan daripada keluarga untuk kali yang entah ke berapa, dan perlu bersiap sedia untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan mehnah dan cubaan ini, dengan hati yang lapang dan tenang.

Sepanjang perjalanan dalam bas ini sebenarnya saya sedang berbalas-balas Whatsapp dengan kenalan baru yang saya jumpa di Facebook. Oleh sebab saya tiada lagi rakan yang saya kenal yang boleh saya jumpa di Perak, maka perlunya untuk saya mencari seseorang. 

Seseorang yang kalau boleh bukan berkenalan begitu sahaja dan hye hye bye bye. Tetapi seseorang yang saya yakin insha Allah boleh menjadi asbab untuk saya tidak terikut-ikut dengan perangai dan fiil lama, yang telah sedaya upaya saya tinggalkan di Bangi sana. 

Orang-orang terdekat sebelum ini pasti lebih memahami karakter saya yang macamana yang saya maksudkan. Haha.

Okey berbalik kepada saudara yang saya jumpa di Facebook itu (saya cari keyword Ikram Perak memandangkan saya tiada apa-apa support system yang boleh tolong saya sekiranya ada kecemasan), alhamdulillah beliaulah orang pertama yang menyambut saya sewaktu saya menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke Seri Iskandar atau Tronoh (Okey lepas ini saya tulis Seri Iskandar jelah ya). 

Saya perkenalkan beliau sebagai akhi Aziz sebab wajahnya sangat sejuk mata memandang.

“Hmmm. Awalnya daftar sebagai pelajar Master. Umur baru 22 tahun kan?” tanya akhi Aziz sambil fokus memandu kereta.

Haha. Yang sebenarnya saya baru sahaja selesai latihan praktikal selama 3 bulan selepas final exam semester akhir. Sementara menunggu konvo, saya apply mana-mana institut yang menawarkan peluang sambung belajar dengan syarat ada geran dan dapat tampung kos pengajian saya. Maka saya pilih UTP sebab UTP ada skim untuk pelajar pascasiswazah buat research.

Perkara pertama yang beliau buat setelah menjemput saya ialah jalan-jalan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Sebab esoknya saya akan melapor diri dengan bakal penyelia, maka adalah lebih elok untuk membiasakan diri dahulu dengan IPTS yang saya dengar ramai yang cakap infrastrukturnya sangat canggih, moden dan cantik.

Masuk-masuk je dalam UTP saya hanya nampak jalan lurus sebab kami ikut jalan belakang. Kemudian saya dibawa untuk melihat bangunan-bangunan akademik seperti Department Information Technology, Department Chemical Engineering dan beberapa department yang saya pun tak tahu. Setiap department bangunannya bersebelahan sahaja.

Saya paling teruja bila tengok Bangunan Canselor UTP yang omaigod besar gila gedabak! Di bangunan canselor itu jugalah terletaknya library UTP yang sekali lagi apabila orang yang baru pertama kali menjejak masuk ke UTP boleh ternganga mulut. Sungguh cantik!


Ruangan dalam bangunan Canselor. 


Ruang dalaman library UTP yang sumpah awesome!

Saya kemudian dibawa ke Masjid UTP atau Masjid An-Nur, kebetulan dah masuk waktu solat Asar. Majid itu atas tasik. Memang unik. Saya suka bilik air dia sebab banyak bilik air yang tersedia. Tak perlulah saya nak menunggu orang dalam bilik air sambil terloncat-loncat sebab dah tak tahan muahahahaha. Dan part yang paling best sekali ialah pintu masuk ke dalam ruang masjid dia. Pintu dia main sliding. Cuma waktu saya masuk tu pintu tu tak boleh nak buka. Rupa-rupanya kena sentuh pada pintu dia baru pintu tu terbuka. Teruja pula saya main-main dengan pintu masjid tu. Hahaha.


Masjid An-Nur yang indah tersergam. :)

 
“Okey, sekarang kita nak ke mana?” Saya tanya beliau sebab saya sendiri pun tak ada idea lagi. Nak pergi ke rumah sewa saya pun, orang rumah tu kata jam 6 petang baru ada.

Akhi Aziz menjawab, “Beli barang-barang dapur?”

Saya tergelak-gelak, “Oh ya, saya ni tak pernah sentuh ikan dan ayam. Saya hanya pernah masak maggie, goreng keropok lekor, nugget, burger, telur etc.”

Tapi dalam hati saya pun saya berazam nak pandai memasak. Cooking is a survival skill kot? Tapi betullah saya ni memang tak pandai sangat masak. Kali terakhir saya cuba masak nasi adalah ketika saya sekolah menengah. Saya tak ingat macamana saya masak nasi goreng tu, tapi yang saya ingat saya masukkan bawang putih yang saya potong, minyak, nasi, garam, kicap, minyak bijan, sos tiram dan mayonis. Hahaha. Dan saya tak rasa yang saya mampu telan hasil masakan saya yang entah apa-apa tu. Hahaha. Even adik saya sendiri lagi terror memasak berbanding abangnya hahaha.

Okey berbalik kepada cerita tadi. Jadi saya pun cakap, okeylah, kita pergi beli barang di Tesco. Dan akhi Aziz pun bawa saya ke sana. Dengan tak ada list barang nak dibeli, saya main beli saja barang-barang yang saya boleh telan, macam roti gardenia, telur, sos cili dan air minuman. At least untuk minggu pertama di Seri Iskandar ini, saya boleh mengalas perut dengan segala barang ini sementara saya tak ada kenderaan untuk makan di mana-mana lagi.

Bila dah nak dekat jam 6, kami pun menuju ke rumah sewa, tempat saya berteduh dari panas dan hujan selama entah berapa bulan. Rumah sewa itu terletak sebelah dengan UTP, kata pemilik rumah sewa itu kepada saya dalam Whatsapp. Ingatkan bolehlah jalan kaki saja pergi UTP, tapi jauh juga haha.

Akhi Aziz terpaksa pergi dahulu, jadi saya sempat berikan beliau buah tangan dari Sabah. Keropok Amplang. Lagipun rasa serba salah pula nak minta beliau lama-lama di rumah sewa, sebab beliau berpuasa sunat.

Masuk saja ke rumah sewa saya ditempatkan dalam bilik double. Kekok jugalah. Hahaha. Berjumpa dengan housemate baru, yang rata-rata berusia 25 hingga 30-an. Kalau berjumpa pun sekadar senyum-senyum, sebab saya sendiri rasa malu atau mungkin sebenarnya merasakan adanya jurang apabila bercakap dengan orang yang baru pertama kali dikenali. Lagipun, saya masih ahli baru dalam rumah sewa itu haha.

“Meja awak kat situ. Itu katil awak. Kunci ini awak punya. Selamat menjadi housemate di rumah ini,” kata Encik Z, roommate saya yang juga sebenarnya baru seminggu menjadi ahli rumah sewa ini. Terkial-kial jugalah saya nak membiasakan diri di sini, haha. Enzik Z ni saya ingatkan pramugara Malaysia Airlines, sebab tubuh beliau memang lepas syarat kalau temuduga jadi flight attendand. Selepas berbual-bual barulah saya tahu beliau bekerja as pharmacist dekat dengan kawasan perumahan di sini.

Ada 3 orang lagi housemate dalam rumah sewa ini. Encik N bekerja di UTP dalam marketing dan sudah berkahwin. Encik Q tak pernah jumpa lagi tapi saya difahamkan beliau ialah pelajar Master di UTP. Dan akhir sekali Encik A yang turut bekerja di UTP, merangkap ketua rumah sewa ini. Beliau juga sudah berkahwin, dan beliau tinggal di Bangi. Setiap hujung minggu beliau akan naik tren ETS untuk sampai ke Bangi.

Jadi demikianlah serba-sedikit pengalaman hari pertama saya di Seri Iskandar. Esoknya saya ke UTP untuk bertemu penyelia. Berdebar-debar juga. Haha entahlah. Saya ni setiap hari selalu rasa berdebar. Padahal berjumpa dengan orang je pun.

Mungkin juga saya masih cuak dengan pengalaman membuat research final year project sewaktu Degree sebelum ini. 

Cuak berjumpa dengan penyelia. 
Cuak berjumpa dengan pelajar PhD. 
Cuak berjumpa dengan lab assistant. 
Cuak berjumpa dengan operator machine, yang kadang-kadang ada mood, kadang-kadang rasa macam nak telan diri ini. 
Cuak juga asyik nak tanya dengan rakan-rakan satu group yang masing-masing sibuk buat kerja-kerja lab. 
Cuak nak buat lab seorang-orang sampai terosakkan sampel sendiri, lepas tu penyelia nampak pula. Memang cari nahaslah. 

Saya cuak sebab saya takut, apabila saya tersalah atau tersilap buat sesuatu, saya akan ditempelak dan dimarahi. Bila saya dimarahi, saya kena kawal dan stabilkan emosi saya. Sebab kalau saya tak lekas kawal, mood saya boleh hilang. Mulalah saya tak ada hati nak buat research, tak nak balas mesej orang, tak nak jumpa orang itu orang itu, lebih suka mengurung diri dalam bilik, etc.

Tapi, dunia ini tentu tidak menyeronokkan jika tiada ujian-ujian sedemikian, bukan? Mungkin hati saya sahaja yang terlalu lemah, haha. Mungkin juga saya terlalu yakin pada diri sendiri sehingga mengabaikan nasihat orang lain. Apabila Tuhan jentik sedikit, mulalah saya menggelabah tak tentu fasal.

Allah. Tenang Farid, tenang.

Tenangkan fikiran dan bayangkan yang indah-indah sahaja. Ingat wajah ayah dan ibu kita yang sentiasa mendoakan kita dari jauh. Ingat juga adik-beradik yang akan melihat kita sebagai role-model.

Diri ini perlu lebih kuat. Jangan gentar dengan asakan negatif. Itu semua hanya permainan yang cuba mengalihkan fokus kita kepada matlamat hidup kita. Matlamat untuk menjadi khalifah untuk memakmurkan bumi ini. Matlamat untuk menjadi muslim yang berguna kepada orang lain. Mahu menjadi muslim yang bisa menyumbangkan sesuatu, haruslah tidak cepat melatah apabila dicubit sedikit. Haruslah sabar dan tetap dengan akhlaknya.



“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar), dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”


Surah At-Taghabun: 11.



Saya positif untuk meneruskan research saya dalam kimia, cuma mungkin bidang yang berlainan daripada yang pernah saya buat sewaktu fyp dahulu. Siapa kata cabaran itu pasti tidak ada? Biarlah apa pun yang akan berlaku selepas ini, saya anggap semua itu adalah wasilah yang akan mematangkan lagi diri saya. 

Kerana saya percaya, setiap pengalaman itu ada hikmah yang boleh menjadikan kita manusia yang lebih baik daripada hari semalam, inshaAllah.

Keep smiling in every moment!

--

Masih terkial-kial untuk menulis research proposal mengenai penghasilan hidrogel. Nak terbeliak jugalah mata apabila membaca jargon-jargon baru dalam jurnal-jurnal sains polimer.

Oh ya, di rumah ini line Digi tak berapa nak okey, jadi amatlah sukar untuk melayari internet. Kuranglah sedikit aktiviti lagha, eh?


No comments:

Post a Comment