Berurusan dengan manusia kini menjadi sebahagian daripada proses kehidupan kita. Ada perkara yang memerlukan kita untuk berinteraksi dengan orang-orang baru dalam hidup kita.
Terkadang expectation kita terhadap orang itu sangat tinggi. Kita anggap orang itu seorang yang sangat baik hati, seorang yang periang, cool, sempoi, sporting, jenis yang membantu, atau yang mudah didekati.
Kita rasa "Oh, dia. Mesti dia ni orang yang baik-baik. Nampak muka dia dari jauh pun aku tengok ok saja."
Sampailah tiba saatnya apabila kita sendiri bersemuka dengan orang yang kita sangka baik itu, dan apabila taringnya dibuka, terasa seperti ditipu.
Orang yang kita anggap baik hati dan mudah didekati itu, rupanya seorang yang sangat dingin, yang suka marah, yang suka mencari kesalahan orang, mengkritik kaw-kaw kononnya dialah yang paling baik di dunia ni dan seumpamanya.
Waktu itu mungkin perasaan husnudzon kita seakan-akan kulit bawang yang dihiris halus-halus. Makin dihiris makin kita rasa pedih, makin kita rasa nak menangis lagi, dan lagi.
Teruskan dengan perasaan husnudzon itu atau yang dimaksudkan bersangka baik. Bersangka baik dengan orang yang kita rasa baik dan mudah untuk bekerjasama. Walaupun setiap kali kita ingin berurusan kita rasa seperti mahu mengelakkan diri dari dia, ingin berlari jauh. Kalau boleh tak nak jumpa langsung. Tapi atas desakan sesuatu yang memerlukan kita sendiri berjumpa dengan dia, membuatkan kita perlu juga menghadapi situasi-situasi yang adakalanya kurang menyenangkan itu
Langkah pertama yang perlu kita lakukan, adalah
sabar. Sabar sahaja dengan sikapnya yang membuatkan kita rasa kurang selesa. Mungkin juga ini ujian Tuhan, untuk melihat sejauh mana respon kita apabila berhadapan dengan orang seperti itu. Apakah kita mampu untuk mengambil hikmah atau sebaliknya. Bila dia lawan, kita tak payah lawan. Kita sabar sahaja. Biarkan dia bercakap apa yang dia mahu cakap.
Kemudian, tetapkan dalam hati untuk
sentiasa berasa tenang. Orang tenang selalu menang. Orang tak tenang selalu jatuh terkangkang. Saya kira orang seperti itu mungkin kekurangan kasih sayang, lalu membuatkan hatinya kurang tenang, menyebabkan dia bersikap sedemikian terhadap kita. Cuba buat macam ini. Apabila ingin berjumpa dengan dia, berlagak seperti orang tenang. Cakap dengan nada yang tenang. Tak perlu tergopoh-gapah dan tak perlu timbulkan rasa ingin berdebat. Biar orang yang kita kurang senang itu menghamburkan segalanya. Kita, duduk diam-diam dan dengar sudah.
Seterusnya, kena
yakin pada diri. Kena berani berhadapan dengan apa juga kemungkinan yang berlaku. Biasalah, apabila kita melakukan kesilapan, terus kita diserang bertubi-tubi. Langsung tidak mahu diberi ruang untuk kita berbicara sepatah dua. Itu fitrah manusia yang ego dan tamak. Rasa diri sendiri betul. Kita, jangan takut-takut. Apabila bersemuka, cakap dengan penuh berisi. Tak perlu untuk memerli dan mengutuk. Biar dia yang nak kutuk kita. Kita, cukup dengan kesopanan dalam berkomunikasi. Orang akan suka dengan sikap kita yang mesra dan penuh senyuman, berbanding orang yang masam mukanya sepanjang masa.
Don't take it personally. Saya tahu ini agak sukar. Kita dah cuba yang terbaik, untuk bersikap baik dan mesra alam dengan orang. Tapi, apabila orang bersikap negatif kepada kita, kita rasa moody yang teramat. Langsung hilang selera nak makan, hilang mood nak buat kerja. Sahabat, walau apapun yang dia tohmahkan kepada kita, usah ambil secara serius. Biarkan ia berlalu. Jika ia nasihat yang berguna, simpan. Jika hanya lebih kepada emosi, abaikan. Teruskan hidup. Move on. Tak perlu nak fokus kepada masalah orang tu. Masalah dia masalah dia sendiri. Fokus benda lain yang lebih bermakna buat diri kita. Jangan biarkan sikapnya yang seperti itu membuatkan kehidupan kita tergugat.
Dan akhir sekali, adalah
mendoakan kebaikan. Sebab kita hanyalah manusia. Kita tak mampu nak sentuh hati manusia untuk bersikap lembut hati. Adakalanya kita tak minta pun orang buat begitu kepada kita. Orang yang mungkin sepatutnya harus bersikap mesra atau buat baik kepada kita tapi apa yang kita dapat hanyalah layanan seperti anjing kurap. Mungkin juga dia sedang depress. Tapi malangnya dia sendiri tak mampu nak kawal depress, sehingga akhirnya bersikap negatif kepada orang di sekelilingnya.
"Ya Allah, Engkau lembutkanlah hati mereka yang berada di sekelilingku."
Itu doa yang saya sebut setiap kali selesai solat, in sha Allah. Saya berdoa agar Tuhan memberikan saya rasa ketenteraman apabila berjumpa dengan orang-orang sebegini. Akhirnya yang mampu saya buat ialah berdoa dan bertawakal. Itu sahaja.
Yang lain, teruskan dengan sikap kita yang menenangkan. Kekalkan aura positif dan akhlak yang murni. Bukan untuk dipijak-pijak, tapi kita mahu mencontohi akhlak Rasulullah salallahu alaihi wassalam. Nabi sendiri lagilah banyak ujian yang menimpa, tapi masih dengan akhlaknya yang menjadi pedoman kita.
Semoga kita juga mampu mencontohi pemimpin teragung kita itu, in sha Allah.