Tuesday, September 5, 2017

Kecanduan Media Sosial

'I fear the day that technology will suprass our human interaction. The world will have a generation of idiots.'


Petikan daripada filem Powder (1995)


[Sumber: link]
Sudah lama perkara ini terpendam dalam minda saya. Mengenai kecanduan kita sebagai pengguna media sosial yang seolah-olah tidak dapat membezakan yang mana realiti, yang mana fantasi.

Hari ini kita disuapkan dengan ketagihan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp dan seumpamanya.

Pada satu sisi, ia memang memberikan kebaikan dan manfaat. Media sosial membolehkan kita untuk menggelungsuri maklumat dan berita tanpa sempadan. Dengan membuka handphone sahaja, kita boleh melihat cerita terbaru yang berlaku di serata dunia. Mengenai dunia politik, ekonomi semasa, isu penindasan saudara-saudara Islam kita di Gaza, Myanmar dan negara-negara yang terlibat.

Saya kira itu bagus. Membuka minda kita untuk melihat dunia.

Namun, terlalu taksub dengan media sosial juga sebenarnya memberikan konsekuensi yang bukan sahaja menjejaskan produktiviti seseorang (jika tidak dapat digunakan secara berhemah), bahkan hanya membuatkan orang-orang di sekeliling seperti halimunan.

Pengalaman berkawan dengan rakan-rakan yang taksubkan media sosial adakalanya membuatkan saya rasa kasihan. 

Bayangkan, bangun pagi-pagi sahaja sudah sibuk membuka Whatsapp untuk menyemak mesej, Instagram untuk mengelike gambar-gambar terbaru, Facebook untuk membaca status terkini, dan Twitter untuk membaca kicauan sensasi.

Tidak lupa dengan keyboard warrior yang tidak habis-habis mahu mengomen dan menghentam. Hidupnya hanya untuk mengkritik, tapi tindakan susulan langsung tak dibuat. Cakapnya sahaja yang lebih.

Sedangkan setelah kita bangun, adalah lebih molek untuk melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Tuhan. Bersyukur kepada Pencipta kerana membangkitkan semula diri kita daripada lena yang bersifat 'mati sementara'.

Bukannya diteruskan dengan menatal telefon kesayangan sehingga mata tidak lekang-lekang pada skrin. 

Kadang-kadang, apabila keluar makan dengan rakan-rakan, walaupun duduk bersebelahan atau pun berhadapan, yang difokuskan adalah pada skrin telefon. Benar, memang ada sesi berbual-bual dengan rakan-rakan, tapi apalah maknanya berbual dengan tangan masih menyentuh telefon.

Pernah juga terdetik untuk saya meninggalkan sahaja meja kerana kalau saya ada di hadapan mata pun, saya hanyalah halimunan. Baik saya bercakap dengan kucing.

Boleh gunakan media sosial, tapi berpada-pada. 

Ada masanya kita menggunakan media sosial untuk tujuan kebaikan, ada masanya kita perlu luangkan masa untuk keluarga, untuk rakan-rakan dan masyarakat.

Saya kira jika ada keperluan yang mendesak boleh sahaja minta excuse untuk jawab segala mesej yang datang. Maksud saya, orang yang berada di hadapan kita itu yang lebih utama untuk kita prioritikan.

Benda yang saya cakapkan ini mungkin hanya akan dipandang enteng oleh sesetengah orang. Tapi percayalah, kalau dapat lakukan perubahan sedikit-sedikit, saya yakin akan ada sedikit perubahan yang berlaku dalam kehidupan.

Mengenai produktiviti, dan juga soal perhubungan kita dengan orang lain.

Mengenai sejauh manakah kita telah berjaya menyantuni masyarakat, juga misi untuk mendekatkan mereka yang semakin jauh daripada Tuhan.

Jangan hanya lancang berbicara di media sosial tetapi tangan langsung tidak digerakkan untuk menggugah jiwa insan lain.

Dunia ini, bukan hanya berputar-putar kepada media sosial sahaja.

1 comment: