[Sumber: link]
Saya
dilahirkan dalam keluarga yang tidak mempunyai latar belakang sains. Ayah saya
bekerja sendiri, manakala ibu saya ialah seorang guru bahasa Melayu dan
Pendidikan Moral.
Minat terhadap sains mungkin berputik semenjak dari
kanak-kanak lagi. Saya
sukakan subjek sains sehingga selalu dapat markah tertinggi di peringkat
sekolah rendah dan peringkat menengah rendah.
Tetapi, setelah menginjak ke
tingkatan 4, saya tidak nampak lagi subjek ‘sains’. Yang saya nampak ialah
kimia, fizik dan biologi. Apa benda itu saya pun tidak tahu. Mungkin saya lebih
suka belajar sains secara umum berbanding perlu mendalami secara spesifik.
Sejak masuk ke dalam kelas aliran
sains, saya sudah tidak begitu minat terhadap teori sains. Saya masih ingat
lagi saya paling benci subjek fizik dan kimia, tetapi saya lebih gemarkan
subjek biologi kerana hanya perlu menghafal fakta.
Ya, saya jenis yang suka
menghafal berbanding mencerap secara analitikal, atau perlu menghadap
segala jenis rumus fizik yang pelik-pelik atau persamaan-persamaan kimia yang
seperti bahasa makhluk asing.
Mungkin saya sebenarnya ‘terpaksa’ ketika belajar
subjek-subjek sains ini. Namun lama-kelamaan saya mengubah niat saya belajar.
Menuntut ilmu memang suatu proses yang menyukarkan. Itulah resepi dalam
menggapai kejayaan.
Ecewah.
Berkat kesabaran dan kesungguhan yang tersisa, saya berjaya
memupuk kembali minat terhadap subjek sains seperti kimia dan biologi.
Sehinggalah saya memasuki peringkat matrikulasi, saya semakin gemar dengan
subjek-subjek sains ini, khususnya kimia.
Entahlah, tapi saya rasa kimia sangat
senang. Konsepnya mudah, rumusnya nampak. Saya nekad untuk menyambung dalam
bidang kimia. Alhamdulillah, saya diterima masuk ke UKM untuk mengikuti program
Sarjana Muda Sains (Kimia) dengan Kepujian.
Kenapa saya teruskan
dengan kimia?
Agak sukar sebenarnya saya menjawab
persoalan ini.
Mulanya saya fikir kimia ini ialah suatu cabang ilmu yang
senang. Ya, memang senang jika rajin buat soalan past year dan dapat skor dengan gred yang cemerlang. Tapi bila
sudah masuk ke peringkat universiti, kimia ini begitu luas disiplinnya.
Kimia tidak akan lari dari konsep
kimia fizik yang menerangkan perlakuan dan dinamik molekul dari sekecil-kecil
zarah sehingga ke makromolekul. Selain itu, seorang saintis kimia juga perlu
melengkapkan diri dengan daya analitikal yang tinggi, oleh itu ilmu analisis
kimia juga sangat penting dalam pencerapan nilai-nilai yang memberi makna
kepada saintis.
Saya juga tidak dapat lari dari kimia organik. Ia bukanlah
mengenai epal organik atau khasiat susu organik, tetapi ia adalah kajian
mengenai sebatian hidrokarbon, iaitu sebatian yang mempunyai karbon dan hidrogen yang
membentuk sesuatu unit sebatian organik yang kompleks.
Kimia tak organik pula lebih kepada
kajian sebatian kompleks, iaitu ion logam yang selalunya terdiri dari
unsur-unsur peralihan dalam jadual berkala, dengan sambungan elektron yang
didermakan dari molekul yang dikenali sebagai ligan.
Ada lagi satu bidang kimia
yang agak baru, tetapi sangat memberi signifikan dan kemaslahatan kepada
kehidupan kita, iaitu kimia polimer. Sintesis daripada polimer inilah yang
menghasilkan bahan-bahan yang memenuhi kelengkapan kehidupan kita, dari
peralatan rumah sehinggalah ke industri automobil dan aeroangkasa.
Jadi, mengapa saya tegar meletakkan
diri untuk menerukan bidang kimia? Seperti yang telah saya sebutkan sebelum
ini, saya tiada jawapan yang sangat spesifik. Kerana ilmu-ilmu kimia ini
membuatkan saya rasa takjub dengan ilmu alam.
Tidak semua yang diberi peluang
untuk mendalami ilmu sains ini secara formal. Saya berazam untuk mendalami dengan lebih
terperinci lagi ilmu ini. Mungkin sekiranya saya tidak berjaya menjadi seorang
saintis kimia yang berjaya pun, sekurang-kurangnya saya masih boleh memberi
kefahaman kepada bakal anak-anak didik saya terhadap ilmu kimia.
Siapa tahu,
mereka yang bakal saya ajar akan lebih berjaya dari saya dalam meneruskan
legasi memakmurkan alam?
Inspirasi dan Motivasi
Dahulu saya pernah berniat untuk
beralih bidang dari sains kepada aliran sastera. Ramai kenalan termasuk guru-guru yang mengatakan bahawa
saya lebih cenderung kepada bidang sastera dan kemanusiaan.
Namun, ibu saya
pernah berpesan kepada saya, “Abang sambunglah dalam bidang sains. Gunakan
kelebihan sastera yang abang ada untuk kemajuan sains.”
Saya tidak nampak kaitan antara
sastera dan sains, sehinggalah apabila masuk ke universiti, atau secara
spesifiknya Universiti Kebangsaan Malaysia yang merupakan satu-satunya
universiti di Malaysia yang memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu, baru saya
sedar betapa peranan sastera sangat mempengaruhi perkembangan sains.
Sastera yang saya maksudkan tidaklah bermaksud ayat yang berbunga-bunga, tetapi lebih kepada
linguistik sesuatu bahasa perantaraan.
Subjek-subjek
sains selalunya diajar dalam bahasa Inggeris. Namun, tidak semua dari anak-anak
bumiputra kita faham dalam bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi untuk memahami
sesuatu konsep sains.
Walau bagaimanapun, dengan penggunaan bahasa Melayu, sesuatu teori
sains itu dapat difahami dan dihayati dengan sepenuh jiwa.
Tiada masalah untuk
mempelajari sesuatu bidang dengan bahasa Inggeris, tetapi apabila menggunakan
bahasa ibunda sendiri, saya dapat rasakan ia lebih bersifat semula jadi dan merupakan suatu manifestasi
apresiasi terhadap warisan dan budaya kita, lebih-lebih lagi dalam menempuh era
globalisasi yang bisa sahaja memudarkan tradisi jati diri.
Antara motivasi lain yang membuatkan
saya begitu bersemangat meneruskan perjuangan dalam bidang ini ialah kesungguhan
pensyarah-pensyarah saya dalam mencurahkan ilmu kepada saya. Lebih-lebih lagi
kepada pensyarah-pensyarah saya yang masih muda.
Sekiranya dibandingkan dengan program-program sains yang
lain, program Kimia sahaja (yang saya lihat setakat ini, haha) yang kebanyakan pensyarahnya adalah muda-muda belaka
dan ramai yang berjaya menerbitkan kajian sains yang berkualiti dan berimpak
tinggi.
Ini memberi interpretasi kepada saya bahawa untuk berjaya itu tidak
mustahil. Yang penting perlu diselang-selikan dengan usaha yang padu serta doa
yang berterusan (di samping projek penyelidikan itu mendapat sokongan dana dan geran penyelidikan).
Pandangan dan harapan?
Saya merasakan ilmu kimia adalah
ilmu yang perlu diterapkan kepada semua masyarakat agar kesedaran terhadap
kimia dapat ditingkatkan.
Tidaklah sampai perlu menghafal formula kimia yang
kompleks atau menjangkakan hasil produk, tetapi memadai dengan konsep-konsep
mudah yang mampu memberi manfaat kepada diri sendiri dan keluarga.
Contoh yang
paling mudah ialah penggunaan polisterina dalam kehidupan seharian. Oleh sebab
produk polisterina adalah tidak terbiodegradasi, iaitu tidak mampu terurai
secara alami, maka penggunaan polistera dengan kekerapan yang tinggi akan
meninggalkan longgokan dan merosakkan alam sekitar.
Sekiranya dibakar pula, ia
akan menghasilkan gas beracun yang memberi impak negatif kepada kita dan alam
sekitar. Maka sekiranya masyarakat dapat memahami mengenai sifat polimer polisterina
ini, mungkin satu inisiatif secara kecil-kecilan seperti menggantikan produk
polisterina dengan bekas makanan bukan pakai buang atau produk terbiodegradasi
dapat diimplementasikan.
Untuk diri saya pula, sekiranya
diberikan peluang untuk melanjutkan penyelidikan dalam kimia, saya berhasrat
untuk mendalami kimia hasilan semula jadi (baca: natural product chemistry), iaitu salah satu cabang dari kimia
bio-organik.
Saya yakin ramuan-ramuan yang digunakan oleh masyarakat terdahulu
mempunyai seribu satu khasiat yang mampu membuka dimensi baru dalam dunia
perubatan dan farmakologi (pendekatan etnobotanikal). Lagipun, kimia organik ini adalah salah satu cabang
yang agak mencabar dan menguji kreativiti dan daya analitikal yang tinggi.
Saya
juga ingin menerapkan prinsip Green
Chemistry, iaitu amalan pensintesisan sebatian kimia yang mengurangkan
impak negatif terhadap alam sekitar. Harapannya dengan penemuan sebatian yang
baru ini akan dapat menyumbang kepada kajian kimia yang sedia ada, seterusnya
memartabatkan lagi industri kimia negara yang sering dimomokkan dengan industri
yang menyebabkan malapetaka dan bencana kepada manusia dan alam sekitar.
(Ayat-ayat di atas dikarang sebelum berlakunya beberapa peristiwa yang menghempap mental dan jiwa saya).
Jadi Farid, sekarang tengah buat apa?
InshaAllah, bulan 10 ini saya bakal memulakan kajian Master saya di UTP. Bidang kajian saya agak lain sedikit daripada kebiasaan saya, iaitu bidang polimer.
Harapnya saya dapat mengubati kekecewaan saya setelah saya tidak berjaya mencapai target yang saya inginkan sewaktu menjalankan projek akhir tahun di UKM. Kecewa tu sampai saya menangis berguling-guling atas lantai makmal. Eh.
Permohonan Master saya masih dalam progres, jadi saya mula sebagai research assistant dahulu. Cuma saya agak takut dan was-was dengan title Chemical Engineering yang bakal saya pegang nanti.
Mujurlah setelah berbalas-balas emel dengan bakal penyelia saya, beliau telah meyakinkan saya bahawa fokus penyelidikan saya adalah lebih kepada kimia. Untuk bahagian yang lebih teknikal, ada researcher lain yang akan buat.
Doakan saya agar diberikan kekuatan dan semangat, walaupun saya ada juga rasa nak tinggalkan dunia penyelidikan sains ini.
Biasalah, hati berbolak-balik.
Farid Majid.
---
Saya baru buka sidang konvokesyen saya yang bakal berlangsung pada hujung bulan 10 ini. Tiba-tiba termenggelabah lepas tengok ada tunggakan saman trafik sebanyak RM 50. Adoi. Setahu saya rekod saman saya sudah clear.
Mujurlah lepas calling-calling pak polisi UKM urusan saman dah settle.
InshaAllah kita bertemu selepas sidang konvo dan beramah mesra. Dah macam artis gitu wahahaha.