Thursday, December 29, 2022

Aku, Espresso dan Latte - Ulasan Novel

Baru selesai menghabiskan bacaan novel Aku, Espresso dan Latte, karya nukilan Haryani Kamilan. Novel ini diterbitkan pada tahun 2012, tapi saya baru berkesempatan untuk memilikinya. Boleh ke pautan ini untuk membeli: Aku, Espresso dan Latte - Buku - PTS


Reka bentuk kulit novel Aku, Espresso dan Latte. Mungkin boleh dilabuhkan lagi tudung Aliya tu. :)


Novel ini mengisahkan Aliya, seorang gadis lepasan SPM yang ingin membuka kafenya sendiri. Tetapi atas desakan kehidupan keluarganya (dia anak sulung, ayahnya sudah tiada, ibunya tidak sihat dan mengambil upah menjahit untuk menyara keluarga, adik-adiknya ada 4 orang yang masih bersekolah), dia terpaksa melupakan hasratnya untuk menyambung pelajaran seperti rakan-rakannya yang lain. Untuk meringankan beban keluarganya, Aliya mencuba nasib untuk bekerja di Kafe Makan Sampai Kenyang sebagai pembancuh minuman. Di sana, Aliya berkenalan dengan Puan Salina, pemilik Kafe Makan Sampai Kenyang yang penuh dengan sifat keibuan dan Amir, seorang pereka pelan bangunan yang gemar meminum espresso buatan Aliya dan Qalel, eksekutif Kolej Kulinari Antarabangsa yang digambarkan sebagai seorang yang dingin dan kuat membuli Aliya.


Tema mengejar impian menjadi mesej utama dalam kisah ini, Cita-cita Aliya adalah untuk membuka sebuah kafe sendiri. Dia mendapat sokongan yang padu daripada Puan Salina dan Amir. Tetapi dalam mengejar cita-cita itu, pelbagai rintangan yang dilalui oleh Aliya. Kisah cinta tiga segi Aliya-Amir-Qalel juga merupakan antara tarikan yang membuatkan novel ini ralit untuk dibaca. Aliya, si gadis innocent, Amir, pereka yang selalu mengambil berat tentang Aliya dan Qalel, eksekutif yang panas baran tetapi dalam hati ada taman. Tetapi tidak seperti novel-novel cinta yang lain, penulis membataskan pergaulan watak-watak ini. Jadi tiada adegan yang tidak mematuhi syariah. Satu usaha yang murni daripada penulis. Terdapat juga watak-watak yang bikin saya tak senang duduk, seperti Encik Hisyam, staf Kolej Kulinari Antarabangsa yang kaki kipas serta cemburukan Qalel kerana kedudukannya di kolej itu, juga Puan Khalidah, ibu Qalel yang merupakan pengerusi Kolej Kulinari Antarabangsa yang sombong, menjaga kepentingan sendiri serta tidak meminati perhubungan antara Qalel dan Aliya.


Bagi anda yang gemarkan kisah-kisah di kafe, atau bercita-cita untuk bekerja atau memiliki restoran sendiri, novel ini menyajikan latar suasana yang adakalanya membuat saya terliur. Membaca novel ini mengingatkan saya kepada novel Maslina Ngadiman (Semanis Tart Ceri dan Separuh Potongan Pizza) tentang watak-watak yang bekerja di kafe cuma wataknya lebih banyak, novel ini pula watak-watak yang bekerja dalam kafe hanya Aliya, Puan Salina dan Sufi, teman sekerja Aliya. Watak Sufi pula tidak begitu berkembang. Saya juga agak tertarik dalam sketsa ketika Puan Salina dan Puan Latifah (ibu Aliya) menghantar Aliya untuk menjalani ujian kemasukan ke Kolej Kulinari Antarabangsa. Ibu bapa dan penjaga calon-calon dihidangkan dengan makanan bertaraf hotel lima bintang. Saya rasa sewaktu saya menyambung pengajian ke kolej tak ada disediakan makanan. Mungkin juga Kolej Kulinari Antarabangsa ini bertaraf antarbangsa, siap ada cawangan di Jakarta lagi, jadi tentulah layanan yang diterima oleh ibu bapa bertaraf kelas pertama! Adakalanya ada perenggan yang saya rasa kurang logik sedikit, contohnya ketika Aliya mahu menyiapkan menu-menu baru pelbagai kaum, termasuk masakan barat dan pastri dalam masa satu jam. Mungkin penulis boleh membuang perkataan 1 jam itu. Selain itu, penulis juga boleh memperbanyak deskripsi penyediaan kopi. Saya expect yang penulis akan ceritakan Espresso dan Latte dengan lebih mendalam, disebabkan tajuk novelnya mengandungi dua perkataan ini, tetapi tidak. Sekiranya penulis menerangkan perbezaan Espresso dan Latte, dan cara pembancuhannya, bermula daripada biji kopi hingga terbentuknya foam pada permukaan kopi itu, dan juga aroma kopinya, saya yakin pembaca akan lebih sukakannya.


Salah satu kekuatan novel ini adalah garapan dialog yang sangat tersusun. Penulis menggerakkan plot cerita menerusi dialog. Jadi menerusi dialog, pembaca akan tertanya-tanya, apakah yang akan berlaku seterusnya kepada watak tersebut? Dialog juga digunakan oleh penulis untuk menyematkan mesej dakwah. Sebagai contoh dalam muka surat 234, ketika Aliya sedang memberikan jawapan kepada Qalel yang sedang mendesak Aliya untuk memberikan penjelasan akan kenapa Aliya tidak menjawab panggilan telefonnya, "...Ada hadnya hubungan antara lelaki dan perempuan. Saya khuatir perbuatan saya selama ini melebihi batas syariah dalam Islam.". Saya yakin, rata-rata pembaca novel ini terdiri daripada golongan remaja, jadi menerusi dialog ini, pembaca akan terasa dekat dengan hidup Aliya dan mendapat pengajaran tentang cara hidup Islam yang sebenar. Dialog yang ditulis oleh penulis juga memudahkan pembaca untuk mengikuti konflik antara watak-watak. Seolah-olah saya sedang menonton drama televisyen.


Novel ini ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) sepenuhnya, termasuklah dialog. Oleh itu, bagi sesetengah pembaca yang sudah terbiasa membaca novel-novel daripada penerbit lain, dialog BMT adakalanya kedengaran agak janggal dan tidak hidup, tetapi pada saya, penulis telah sedaya upaya menyedapkan dialog meskipun dituturkan menggunakan ayat penuh (dan mungkin juga disebabkan saya membesar dengan membaca novel-novel terbitan PTS, jadi bukan menjadi masalah serius untuk saya menghabiskan bacaan). Tujuan penggunaan BMT dalam novel ini juga diharapkan dapat membimbing pembaca untuk memperbaiki tatabahasa dan amalan budaya Melayu tinggi.


Ada juga beberapa perkara-perkara yang perlu diambil perhatian.


1. Dalam muka surat 32, perenggan 2, 3 dan 4 agak kurang logik. Dalam perenggan ke-2, Aliya menyatakan bahawa dia berminat untuk masak dan telah banyak belajar resepi-resepi baharu, dan sudah biasa memasak resepi-resepi itu untuk adik-adiknya di rumah. Kemudian apabila Puan Salina tanya sama ada Aliya selalu dapat makanan yang enak ini dalam perenggan 3, Aliya menidakkan dalam perenggan 4. 

2. Penggunaan perkataan 'muhrim' dalam muka surat 47, yang sepatutnya ditukarkan kepada 'mahram' untuk menjelaskan orang yang haram dinikahi menurut Islam.

3. Watak Amir dan Qalel saling tertukar dalam muka surat 195. Novel ini telah memasuki cetakan ketiga pada tahun 2014, jadi perkara ini perlu diberi perhatian untuk mengurangkan kebingungan kepada pembaca.

4. Teks pesanan ringkas dalam muka surat 263 tidak dicondongkan.

5. Saya dapati penulis banyak menggunakan frasa 'sekonyong-konyong', seperti dalam muka surat 44, 46, 59, 98, 296 dan beberapa halaman yang lain. Tak pasti adakah ini trademark penulis. Mungkin penulis boleh mempelbagaikan lagi frasa lain seperti tiba-tiba, serta-merta, tanpa disangka-sangka dan sebagainya.


Itu sahaja ulasan saya. Berjumpa di entri akan datang. :)

No comments:

Post a Comment