Minat terhadap
sains mungkin berputik semenjak dari kanak-kanak lagi. Saya sukakan subjek
sains sehingga selalu dapat markah tertinggi di peringkat sekolah rendah dan
peringkat menengah rendah. Tetapi, setelah menginjak ke tingkatan 4, saya tidak
nampak lagi subjek ‘sains’. Yang saya nampak ialah kimia, fizik dan biologi.
Apa benda itu saya pun tidak tahu. Mungkin saya lebih suka belajar sains secara
umum berbanding perlu mendalami secara spesifik.
Sejak masuk ke dalam kelas aliran
sains, saya sudah tidak begitu minat terhadap teori sains. Saya masih ingat
lagi saya paling benci subjek fizik dan kimia, tetapi saya lebih gemarkan
subjek biologi kerana hanya perlu menghafal fakta. Ya, saya jenis yang suka
menghafal berbanding mencerap secara analitikal, berbanding perlu menghadap
segala jenis rumus fizik yang pelik-pelik atau persamaan-persamaan kimia yang
seperti bahasa makhluk asing.
Mungkin saya ‘terpaksa’ dalam belajar
subjek-subjek sains ini. Namun lama-kelamaan saya mengubah niat saya belajar.
Menuntut ilmu memang suatu proses yang menyukarkan. Itulah resepi dalam
menggapai kejayaan. Berkat kesabaran dan kesungguhan yang tersisa, saya berjaya
memupuk kembali minat terhadap subjek sains seperti kimia dan biologi.
Sehinggalah saya memasuki peringkat matrikulasi, saya semakin gemar dengan
subjek-subjek sains ini, khususnya kimia. Entahlah, tapi saya rasa kimia sangat
senang. Konsepnya mudah, rumusnya nampak. Saya nekad untuk menyambung dalam
bidang kimia. Alhamdulillah, saya diterima masuk ke UKM untuk mengikuti program
Sarjana Muda Sains (Kimia) dengan Kepujian.
Kenapa saya teruskan
dengan kimia?
Agak sukar sebenarnya saya menjawab
persoalan ini. Mulanya saya fikir kimia ini ialah suatu cabang ilmu yang
senang. Ya, memang senang jika rajin buat soalan past year dan dapat skor dengan gred yang cemerlang. Tapi bila
sudah masuk ke peringkat universiti, kimia ini begitu luas disiplinnya.
Kimia tidak akan lari dari konsep
kimia fizik yang menerangkan perlakuan dan dinamik molekul dari sekecil-kecil
zarah sehingga ke makromolekul. Selain itu, seorang saintis kimia juga perlu
melengkapkan diri dengan daya analitikal yang tinggi, oleh itu ilmu analisis
kimia juga sangat penting dalam pencerapan nilai-nilai yang memberi makna
kepada saintis. Saya juga tidak dapat lari dari kimia organik. Ia bukanlah
mengenai epal organik atau khasiat susu organik, tetapi ia adalah kajian
mengenai hidrokarbon, iaitu sebatian yang mempunyai karbon dan hidrogen yang
membentuk sesuatu unit sebatian organik yang kompleks.
Kimia tak organik pula lebih kepada
kajian sebatian kompleks, iaitu ion logam yang selalunya terdiri dari
unsur-unsur peralihan dalam jadual berkala, dengan sambungan elektron yang
didermakan dari molekul yang dikenali sebagai ligan. Ada lagi satu bidang kimia
yang agak baru, tetapi sangat memberi signifikan dan kemaslahatan kepada
kehidupan kita, iaitu kimia polimer. Sintesis daripada polimer inilah yang
menghasilkan bahan-bahan yang memenuhi kelengkapan kehidupan kita, dari
peralatan rumah sehinggalah ke industri automobil dan aeroangkasa.
Jadi, mengapa saya tegar meletakkan
diri untuk menerukan bidang kimia? Seperti yang telah saya sebutkan sebelum
ini, saya tiada jawapan yang sangat spesifik. Kerana ilmu-ilmu kimia ini
membuatkan saya rasa takjub dengan ilmu alam. Tidak semua yang diberi peluang
untuk mendalami ilmu sains ini, maka saya yang telah dipilih oleh Tuhan berasa
bersyukur dan saya berazam untuk mendalami dengan lebih terperinci lagi ilmu
ini. Mungkin sekiranya saya tidak berjaya menjadi seorang saintis kimia yang
berjaya pun, sekurang-kurangnya saya masih boleh memberi kefahaman kepada bakal
anak-anak didik saya terhadap ilmu kimia. Siapa tahu, mereka yang bakal saya
ajar akan lebih berjaya dari saya dalam meneruskan legasi memakmurkan alam?
Inspirasi dan Motivasi
Dahulu saya pernah berniat untuk
beralih bidang dari sains kepada aliran sastera. Ramai yang mengatakan bahawa
saya lebih cenderung kepada bidang sastera dan kemanusiaan. Namun, ibu saya
pernah berpesan kepada saya, “Abang sambunglah dalam bidang sains. Gunakan
kelebihan sastera yang abang ada untuk kemajuan sains.”
Saya tidak nampak kaitan antara
sastera dan sains, sehinggalah apabila masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia, satu-satunya
universiti di Malaysia yang memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu, baru saya
sedar betapa peranan sastera sangat mempengaruhi perkembangan sains. Sastera di
sini tidaklah bermaksud ayat yang berbunga-bunga, tetapi lebih kepada
linguistik sesuatu bahasa perantaraan. Umum diketahui bahawa subjek-subjek
sains lebih kepada penggunaan bahasa Inggeris. Tidak semua dari anak-anak
bumiputra kita faham dalam bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi untuk memahami
sesuatu konsep sains. Namun, dengan penggunaan bahasa Melayu, sesuatu teori
sains itu dapat difahami dan dihayati dengan sepenuh jiwa. Tiada masalah untuk
mempelajari sesuatu bidang dengan bahasa Inggeris, tetapi apabila menggunakan
bahasa ibunda sendiri, ia lebih bersifat semula jadi dan merupakan suatu manifestasi
apresiasi terhadap warisan dan budaya kita, lebih-lebih lagi dalam menempuh era
globalisasi yang boleh memudarkan tradisi jati diri.
Antara motivasi lain yang membuatkan
saya begitu bersemangat meneruskan perjuangan dalam bidang ini ialah kesungguhan
pensyarah-pensyarah saya dalam mencurahkan ilmu kepada saya. Lebih-lebih lagi
kepada pensyarah-pensyarah saya yang masih muda, tetapi sudah bergelar Dr.
dalam pendidikan. Sekiranya dibandingkan dengan program-program sains yang
lain, program Kimia sahaja yang kebanyakan pensyarahnya adalah muda-muda belaka
dan ramai yang berjaya menerbitkan kajian sains yang berkualiti dan berimpak
tinggi. Ini memberi interpretasi kepada saya bahawa untuk berjaya itu tidak
mustahil. Yang penting perlu diselang-selikan dengan usaha yang padu serta doa
yang berterusan.
Pandangan dan harapan
terhadap bidang penyelidikan yang sedang ditekuni
Saya merasakan ilmu kimia adalah
ilmu yang perlu diterapkan kepada semua masyarakat agar kesedaran terhadap
kimia dapat ditingkatkan. Tidaklah sampai perlu menghafal formula kimia yang
kompleks atau menjangkakan hasil produk, tetapi memadai dengan konsep-konsep
mudah yang mampu memberi manfaat kepada diri sendiri dan keluarga. Contoh yang
paling mudah ialah penggunaan polisterina dalam kehidupan seharian. Oleh sebab
produk polisterina adalah tidak terbiodegradasi, iaitu tidak mampu terurai
secara alami, maka penggunaan polistera dengan kekerapan yang tinggi akan
meninggalkan longgokan dan merosakkan alam sekitar. Sekiranya dibakar pula, ia
akan menghasilkan gas beracun yang memberi impak negatif kepada kita dan alam
sekitar. Maka sekiranya masyarakat dapat memahami mengenai sifat polimer polisterina
ini, mungkin satu inisiatif secara kecil-kecilan seperti menggantikan produk
polisterina dengan bekas makanan bukan pakai buang atau produk terbiodegradasi
dapat diimplementasikan.
Untuk diri saya pula, sekiranya
diberikan peluang untuk melanjutkan penyelidikan dalam kimia, saya berhasrat
untuk mendalami hasilan semula jadi, iaitu salah satu cabang dari kimia
bio-organik. Saya yakin ramuan-ramuan yang digunakan oleh masyarakat terdahulu
mempunyai seribu satu khasiat yang mampu membuka dimensi baru dalam dunia
perubatan dan farmakologi. Lagipun, kimia organik ini adalah salah satu cabang
yang agak mencabar dan menguji kreativiti dan daya analitikal yang tinggi. Saya
juga ingin menerapkan prinsip Green
Chemistry, iaitu amalan pensintesisan sebatian kimia yang mengurangkan
impak negatif terhadap alam sekitar. Harapannya dengan penemuan sebatian yang
baru ini akan dapat menyumbang kepada kajian kimia yang sedia ada, seterusnya
memartabatkan lagi industri kimia negara yang sering dimomokkan dengan industri
yang menyebabkan malapetaka dan bencana kepada manusia dan alam sekitar.
Idea meningkatkan
pendidikan STEM di Malaysia
Pendidikan STEM yang mencakupi
sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik adalah suatu integrasi pendidikan
yang baru dilaksanakan. Oleh itu, inisiatif yang efektif adalah perlu agar
matlamat pendidikan STEM dalam melahirkan masyarakat yang menghargai sains dan
memiliki kecelikan dalam analitikal dan pencerapan alam dapat direalisasikan.
Cadangan yang dapat saya sumbangkan
untuk memartabatkan pendidikan STEM ini adalah menerusi pemerkasaan bahasa
Melayu sebagai bahasa perantara ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan
matematik. Bunyinya agak cliché tetapi
inilah salah satu usaha yang boleh diimplementasikan secara pragmatis. Tidaklah
salah belajar mengira dan menganalisis sistem tubuh badan dan mencerap sifat
fizikal produk dengan bahasa Inggeris, namun sekiranya penggunaan bahasa Melayu
diterapkan, kefahaman pelajar terhadap konsep sains dan matematik mungkin akan
menjadi lebih berkesan.
Hal ini kerana kita sejak lahir lagi
telah dipupuk dengan bahasa ibunda kita. Jadi, mengapa tidak kita usahakan
secara bersama agar pembelajaran dilakukan menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmuan? Sedangkan masyarakat Jepun sendiri mengekalkan identiti bahasa
mereka sehingga mampu menjadi antara negara yang termaju dalam bidang sains dan
teknologi, mengapa tidak kita mengorak langkah yang proaktif untuk memajukan
tamadun sains kita sendiri? In sha Allah, saya amat yakin perkembangan
teknologi negara kita mampu pergi lebih jauh sekiranya jati diri kita dijadikan
asas dalam pembentukan sebuah masyarakat yang celik dan berminda saintifik.