Sunday, October 8, 2017

From Bangi to Seri Iskandar


Masjid An-Nur [Sumber: link]

Alhamdulillah, sudah tujuh hari saya berada di sini, di Tronoh, atau Seri Iskandar, atau mana-manalah sebab saya pun kecelaruan juga saya ini duduk di Tronoh atau Seri Iskandar hahaha.

Ini kali pertama saya membawa diri seorang diri, tanpa keluarga yang membantu, tanpa teman di sisi.

Oh dan ini kali pertama saya naik bas Terminal Bersepadu Selatan. Serius rasa macam kekok sangat sebab tak pernah ke tempat baru. Pelbagai perasaan bercampur aduk. Seriau, seram, teruja, takut. Haha.

Masih teringat lagi lagu dalam bas yang liriknya lebih kurang, 


Dalam kehidupan ini yang terindah nananana usia remaja…” 


Selalu juga saya dengar lagu lama tu di corong radio cuma tak kenal nama penyanyi dan tajuk lagunya. Sepanjang lagu tu diputarkan dalam perjalanan saya dari TBS ke Seri Iskandar, saya seolah-olah menghayati lagu itu. Lagu fasal remaja, dan saya yang masih remaja muda ini memang masuklah dalam lirik lagu tu.

Berjauhan daripada keluarga untuk kali yang entah ke berapa, dan perlu bersiap sedia untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan mehnah dan cubaan ini, dengan hati yang lapang dan tenang.

Sepanjang perjalanan dalam bas ini sebenarnya saya sedang berbalas-balas Whatsapp dengan kenalan baru yang saya jumpa di Facebook. Oleh sebab saya tiada lagi rakan yang saya kenal yang boleh saya jumpa di Perak, maka perlunya untuk saya mencari seseorang. 

Seseorang yang kalau boleh bukan berkenalan begitu sahaja dan hye hye bye bye. Tetapi seseorang yang saya yakin insha Allah boleh menjadi asbab untuk saya tidak terikut-ikut dengan perangai dan fiil lama, yang telah sedaya upaya saya tinggalkan di Bangi sana. 

Orang-orang terdekat sebelum ini pasti lebih memahami karakter saya yang macamana yang saya maksudkan. Haha.

Okey berbalik kepada saudara yang saya jumpa di Facebook itu (saya cari keyword Ikram Perak memandangkan saya tiada apa-apa support system yang boleh tolong saya sekiranya ada kecemasan), alhamdulillah beliaulah orang pertama yang menyambut saya sewaktu saya menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke Seri Iskandar atau Tronoh (Okey lepas ini saya tulis Seri Iskandar jelah ya). 

Saya perkenalkan beliau sebagai akhi Aziz sebab wajahnya sangat sejuk mata memandang.

“Hmmm. Awalnya daftar sebagai pelajar Master. Umur baru 22 tahun kan?” tanya akhi Aziz sambil fokus memandu kereta.

Haha. Yang sebenarnya saya baru sahaja selesai latihan praktikal selama 3 bulan selepas final exam semester akhir. Sementara menunggu konvo, saya apply mana-mana institut yang menawarkan peluang sambung belajar dengan syarat ada geran dan dapat tampung kos pengajian saya. Maka saya pilih UTP sebab UTP ada skim untuk pelajar pascasiswazah buat research.

Perkara pertama yang beliau buat setelah menjemput saya ialah jalan-jalan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Sebab esoknya saya akan melapor diri dengan bakal penyelia, maka adalah lebih elok untuk membiasakan diri dahulu dengan IPTS yang saya dengar ramai yang cakap infrastrukturnya sangat canggih, moden dan cantik.

Masuk-masuk je dalam UTP saya hanya nampak jalan lurus sebab kami ikut jalan belakang. Kemudian saya dibawa untuk melihat bangunan-bangunan akademik seperti Department Information Technology, Department Chemical Engineering dan beberapa department yang saya pun tak tahu. Setiap department bangunannya bersebelahan sahaja.

Saya paling teruja bila tengok Bangunan Canselor UTP yang omaigod besar gila gedabak! Di bangunan canselor itu jugalah terletaknya library UTP yang sekali lagi apabila orang yang baru pertama kali menjejak masuk ke UTP boleh ternganga mulut. Sungguh cantik!


Ruangan dalam bangunan Canselor. 


Ruang dalaman library UTP yang sumpah awesome!

Saya kemudian dibawa ke Masjid UTP atau Masjid An-Nur, kebetulan dah masuk waktu solat Asar. Majid itu atas tasik. Memang unik. Saya suka bilik air dia sebab banyak bilik air yang tersedia. Tak perlulah saya nak menunggu orang dalam bilik air sambil terloncat-loncat sebab dah tak tahan muahahahaha. Dan part yang paling best sekali ialah pintu masuk ke dalam ruang masjid dia. Pintu dia main sliding. Cuma waktu saya masuk tu pintu tu tak boleh nak buka. Rupa-rupanya kena sentuh pada pintu dia baru pintu tu terbuka. Teruja pula saya main-main dengan pintu masjid tu. Hahaha.


Masjid An-Nur yang indah tersergam. :)

 
“Okey, sekarang kita nak ke mana?” Saya tanya beliau sebab saya sendiri pun tak ada idea lagi. Nak pergi ke rumah sewa saya pun, orang rumah tu kata jam 6 petang baru ada.

Akhi Aziz menjawab, “Beli barang-barang dapur?”

Saya tergelak-gelak, “Oh ya, saya ni tak pernah sentuh ikan dan ayam. Saya hanya pernah masak maggie, goreng keropok lekor, nugget, burger, telur etc.”

Tapi dalam hati saya pun saya berazam nak pandai memasak. Cooking is a survival skill kot? Tapi betullah saya ni memang tak pandai sangat masak. Kali terakhir saya cuba masak nasi adalah ketika saya sekolah menengah. Saya tak ingat macamana saya masak nasi goreng tu, tapi yang saya ingat saya masukkan bawang putih yang saya potong, minyak, nasi, garam, kicap, minyak bijan, sos tiram dan mayonis. Hahaha. Dan saya tak rasa yang saya mampu telan hasil masakan saya yang entah apa-apa tu. Hahaha. Even adik saya sendiri lagi terror memasak berbanding abangnya hahaha.

Okey berbalik kepada cerita tadi. Jadi saya pun cakap, okeylah, kita pergi beli barang di Tesco. Dan akhi Aziz pun bawa saya ke sana. Dengan tak ada list barang nak dibeli, saya main beli saja barang-barang yang saya boleh telan, macam roti gardenia, telur, sos cili dan air minuman. At least untuk minggu pertama di Seri Iskandar ini, saya boleh mengalas perut dengan segala barang ini sementara saya tak ada kenderaan untuk makan di mana-mana lagi.

Bila dah nak dekat jam 6, kami pun menuju ke rumah sewa, tempat saya berteduh dari panas dan hujan selama entah berapa bulan. Rumah sewa itu terletak sebelah dengan UTP, kata pemilik rumah sewa itu kepada saya dalam Whatsapp. Ingatkan bolehlah jalan kaki saja pergi UTP, tapi jauh juga haha.

Akhi Aziz terpaksa pergi dahulu, jadi saya sempat berikan beliau buah tangan dari Sabah. Keropok Amplang. Lagipun rasa serba salah pula nak minta beliau lama-lama di rumah sewa, sebab beliau berpuasa sunat.

Masuk saja ke rumah sewa saya ditempatkan dalam bilik double. Kekok jugalah. Hahaha. Berjumpa dengan housemate baru, yang rata-rata berusia 25 hingga 30-an. Kalau berjumpa pun sekadar senyum-senyum, sebab saya sendiri rasa malu atau mungkin sebenarnya merasakan adanya jurang apabila bercakap dengan orang yang baru pertama kali dikenali. Lagipun, saya masih ahli baru dalam rumah sewa itu haha.

“Meja awak kat situ. Itu katil awak. Kunci ini awak punya. Selamat menjadi housemate di rumah ini,” kata Encik Z, roommate saya yang juga sebenarnya baru seminggu menjadi ahli rumah sewa ini. Terkial-kial jugalah saya nak membiasakan diri di sini, haha. Enzik Z ni saya ingatkan pramugara Malaysia Airlines, sebab tubuh beliau memang lepas syarat kalau temuduga jadi flight attendand. Selepas berbual-bual barulah saya tahu beliau bekerja as pharmacist dekat dengan kawasan perumahan di sini.

Ada 3 orang lagi housemate dalam rumah sewa ini. Encik N bekerja di UTP dalam marketing dan sudah berkahwin. Encik Q tak pernah jumpa lagi tapi saya difahamkan beliau ialah pelajar Master di UTP. Dan akhir sekali Encik A yang turut bekerja di UTP, merangkap ketua rumah sewa ini. Beliau juga sudah berkahwin, dan beliau tinggal di Bangi. Setiap hujung minggu beliau akan naik tren ETS untuk sampai ke Bangi.

Jadi demikianlah serba-sedikit pengalaman hari pertama saya di Seri Iskandar. Esoknya saya ke UTP untuk bertemu penyelia. Berdebar-debar juga. Haha entahlah. Saya ni setiap hari selalu rasa berdebar. Padahal berjumpa dengan orang je pun.

Mungkin juga saya masih cuak dengan pengalaman membuat research final year project sewaktu Degree sebelum ini. 

Cuak berjumpa dengan penyelia. 
Cuak berjumpa dengan pelajar PhD. 
Cuak berjumpa dengan lab assistant. 
Cuak berjumpa dengan operator machine, yang kadang-kadang ada mood, kadang-kadang rasa macam nak telan diri ini. 
Cuak juga asyik nak tanya dengan rakan-rakan satu group yang masing-masing sibuk buat kerja-kerja lab. 
Cuak nak buat lab seorang-orang sampai terosakkan sampel sendiri, lepas tu penyelia nampak pula. Memang cari nahaslah. 

Saya cuak sebab saya takut, apabila saya tersalah atau tersilap buat sesuatu, saya akan ditempelak dan dimarahi. Bila saya dimarahi, saya kena kawal dan stabilkan emosi saya. Sebab kalau saya tak lekas kawal, mood saya boleh hilang. Mulalah saya tak ada hati nak buat research, tak nak balas mesej orang, tak nak jumpa orang itu orang itu, lebih suka mengurung diri dalam bilik, etc.

Tapi, dunia ini tentu tidak menyeronokkan jika tiada ujian-ujian sedemikian, bukan? Mungkin hati saya sahaja yang terlalu lemah, haha. Mungkin juga saya terlalu yakin pada diri sendiri sehingga mengabaikan nasihat orang lain. Apabila Tuhan jentik sedikit, mulalah saya menggelabah tak tentu fasal.

Allah. Tenang Farid, tenang.

Tenangkan fikiran dan bayangkan yang indah-indah sahaja. Ingat wajah ayah dan ibu kita yang sentiasa mendoakan kita dari jauh. Ingat juga adik-beradik yang akan melihat kita sebagai role-model.

Diri ini perlu lebih kuat. Jangan gentar dengan asakan negatif. Itu semua hanya permainan yang cuba mengalihkan fokus kita kepada matlamat hidup kita. Matlamat untuk menjadi khalifah untuk memakmurkan bumi ini. Matlamat untuk menjadi muslim yang berguna kepada orang lain. Mahu menjadi muslim yang bisa menyumbangkan sesuatu, haruslah tidak cepat melatah apabila dicubit sedikit. Haruslah sabar dan tetap dengan akhlaknya.



“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar), dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”


Surah At-Taghabun: 11.



Saya positif untuk meneruskan research saya dalam kimia, cuma mungkin bidang yang berlainan daripada yang pernah saya buat sewaktu fyp dahulu. Siapa kata cabaran itu pasti tidak ada? Biarlah apa pun yang akan berlaku selepas ini, saya anggap semua itu adalah wasilah yang akan mematangkan lagi diri saya. 

Kerana saya percaya, setiap pengalaman itu ada hikmah yang boleh menjadikan kita manusia yang lebih baik daripada hari semalam, inshaAllah.

Keep smiling in every moment!

--

Masih terkial-kial untuk menulis research proposal mengenai penghasilan hidrogel. Nak terbeliak jugalah mata apabila membaca jargon-jargon baru dalam jurnal-jurnal sains polimer.

Oh ya, di rumah ini line Digi tak berapa nak okey, jadi amatlah sukar untuk melayari internet. Kuranglah sedikit aktiviti lagha, eh?


Monday, September 18, 2017

Confession Farid terhadap Kimia

[Sumber: link]

Saya dilahirkan dalam keluarga yang tidak mempunyai latar belakang sains. Ayah saya bekerja sendiri, manakala ibu saya ialah seorang guru bahasa Melayu dan Pendidikan Moral. 

Minat terhadap sains mungkin berputik semenjak dari kanak-kanak lagi. Saya sukakan subjek sains sehingga selalu dapat markah tertinggi di peringkat sekolah rendah dan peringkat menengah rendah. 

Tetapi, setelah menginjak ke tingkatan 4, saya tidak nampak lagi subjek ‘sains’. Yang saya nampak ialah kimia, fizik dan biologi. Apa benda itu saya pun tidak tahu. Mungkin saya lebih suka belajar sains secara umum berbanding perlu mendalami secara spesifik.

Sejak masuk ke dalam kelas aliran sains, saya sudah tidak begitu minat terhadap teori sains. Saya masih ingat lagi saya paling benci subjek fizik dan kimia, tetapi saya lebih gemarkan subjek biologi kerana hanya perlu menghafal fakta. 

Ya, saya jenis yang suka menghafal berbanding mencerap secara analitikal, atau perlu menghadap segala jenis rumus fizik yang pelik-pelik atau persamaan-persamaan kimia yang seperti bahasa makhluk asing.

Mungkin saya sebenarnya ‘terpaksa’ ketika belajar subjek-subjek sains ini. Namun lama-kelamaan saya mengubah niat saya belajar. 

Menuntut ilmu memang suatu proses yang menyukarkan. Itulah resepi dalam menggapai kejayaan. 

Ecewah.

Berkat kesabaran dan kesungguhan yang tersisa, saya berjaya memupuk kembali minat terhadap subjek sains seperti kimia dan biologi. Sehinggalah saya memasuki peringkat matrikulasi, saya semakin gemar dengan subjek-subjek sains ini, khususnya kimia. 

Entahlah, tapi saya rasa kimia sangat senang. Konsepnya mudah, rumusnya nampak. Saya nekad untuk menyambung dalam bidang kimia. Alhamdulillah, saya diterima masuk ke UKM untuk mengikuti program Sarjana Muda Sains (Kimia) dengan Kepujian.

Kenapa saya teruskan dengan kimia?

Agak sukar sebenarnya saya menjawab persoalan ini. 

Mulanya saya fikir kimia ini ialah suatu cabang ilmu yang senang. Ya, memang senang jika rajin buat soalan past year dan dapat skor dengan gred yang cemerlang. Tapi bila sudah masuk ke peringkat universiti, kimia ini begitu luas disiplinnya.

Kimia tidak akan lari dari konsep kimia fizik yang menerangkan perlakuan dan dinamik molekul dari sekecil-kecil zarah sehingga ke makromolekul. Selain itu, seorang saintis kimia juga perlu melengkapkan diri dengan daya analitikal yang tinggi, oleh itu ilmu analisis kimia juga sangat penting dalam pencerapan nilai-nilai yang memberi makna kepada saintis. 

Saya juga tidak dapat lari dari kimia organik. Ia bukanlah mengenai epal organik atau khasiat susu organik, tetapi ia adalah kajian mengenai sebatian hidrokarbon, iaitu sebatian yang mempunyai karbon dan hidrogen yang membentuk sesuatu unit sebatian organik yang kompleks.

Kimia tak organik pula lebih kepada kajian sebatian kompleks, iaitu ion logam yang selalunya terdiri dari unsur-unsur peralihan dalam jadual berkala, dengan sambungan elektron yang didermakan dari molekul yang dikenali sebagai ligan. 

Ada lagi satu bidang kimia yang agak baru, tetapi sangat memberi signifikan dan kemaslahatan kepada kehidupan kita, iaitu kimia polimer. Sintesis daripada polimer inilah yang menghasilkan bahan-bahan yang memenuhi kelengkapan kehidupan kita, dari peralatan rumah sehinggalah ke industri automobil dan aeroangkasa.

Jadi, mengapa saya tegar meletakkan diri untuk menerukan bidang kimia? Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, saya tiada jawapan yang sangat spesifik. Kerana ilmu-ilmu kimia ini membuatkan saya rasa takjub dengan ilmu alam. 

Tidak semua yang diberi peluang untuk mendalami ilmu sains ini secara formal. Saya berazam untuk mendalami dengan lebih terperinci lagi ilmu ini. Mungkin sekiranya saya tidak berjaya menjadi seorang saintis kimia yang berjaya pun, sekurang-kurangnya saya masih boleh memberi kefahaman kepada bakal anak-anak didik saya terhadap ilmu kimia. 

Siapa tahu, mereka yang bakal saya ajar akan lebih berjaya dari saya dalam meneruskan legasi memakmurkan alam?

Inspirasi dan Motivasi

Dahulu saya pernah berniat untuk beralih bidang dari sains kepada aliran sastera. Ramai kenalan termasuk guru-guru yang mengatakan bahawa saya lebih cenderung kepada bidang sastera dan kemanusiaan. 

Namun, ibu saya pernah berpesan kepada saya, “Abang sambunglah dalam bidang sains. Gunakan kelebihan sastera yang abang ada untuk kemajuan sains.”
            
Saya tidak nampak kaitan antara sastera dan sains, sehinggalah apabila masuk ke universiti, atau secara spesifiknya Universiti Kebangsaan Malaysia yang merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu, baru saya sedar betapa peranan sastera sangat mempengaruhi perkembangan sains. 

Sastera yang saya maksudkan tidaklah bermaksud ayat yang berbunga-bunga, tetapi lebih kepada linguistik sesuatu bahasa perantaraan. 

Subjek-subjek sains selalunya diajar dalam bahasa Inggeris. Namun, tidak semua dari anak-anak bumiputra kita faham dalam bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi untuk memahami sesuatu konsep sains. 

Walau bagaimanapun, dengan penggunaan bahasa Melayu, sesuatu teori sains itu dapat difahami dan dihayati dengan sepenuh jiwa. 

Tiada masalah untuk mempelajari sesuatu bidang dengan bahasa Inggeris, tetapi apabila menggunakan bahasa ibunda sendiri, saya dapat rasakan ia lebih bersifat semula jadi dan merupakan suatu manifestasi apresiasi terhadap warisan dan budaya kita, lebih-lebih lagi dalam menempuh era globalisasi yang bisa sahaja memudarkan tradisi jati diri.

Antara motivasi lain yang membuatkan saya begitu bersemangat meneruskan perjuangan dalam bidang ini ialah kesungguhan pensyarah-pensyarah saya dalam mencurahkan ilmu kepada saya. Lebih-lebih lagi kepada pensyarah-pensyarah saya yang masih muda.  

Sekiranya dibandingkan dengan program-program sains yang lain, program Kimia sahaja (yang saya lihat setakat ini, haha) yang kebanyakan pensyarahnya adalah muda-muda belaka dan ramai yang berjaya menerbitkan kajian sains yang berkualiti dan berimpak tinggi. 

Ini memberi interpretasi kepada saya bahawa untuk berjaya itu tidak mustahil. Yang penting perlu diselang-selikan dengan usaha yang padu serta doa yang berterusan (di samping projek penyelidikan itu mendapat sokongan dana dan geran penyelidikan).

Pandangan dan harapan? 
            
Saya merasakan ilmu kimia adalah ilmu yang perlu diterapkan kepada semua masyarakat agar kesedaran terhadap kimia dapat ditingkatkan. 

Tidaklah sampai perlu menghafal formula kimia yang kompleks atau menjangkakan hasil produk, tetapi memadai dengan konsep-konsep mudah yang mampu memberi manfaat kepada diri sendiri dan keluarga. 

Contoh yang paling mudah ialah penggunaan polisterina dalam kehidupan seharian. Oleh sebab produk polisterina adalah tidak terbiodegradasi, iaitu tidak mampu terurai secara alami, maka penggunaan polistera dengan kekerapan yang tinggi akan meninggalkan longgokan dan merosakkan alam sekitar. 

Sekiranya dibakar pula, ia akan menghasilkan gas beracun yang memberi impak negatif kepada kita dan alam sekitar. Maka sekiranya masyarakat dapat memahami mengenai sifat polimer polisterina ini, mungkin satu inisiatif secara kecil-kecilan seperti menggantikan produk polisterina dengan bekas makanan bukan pakai buang atau produk terbiodegradasi dapat diimplementasikan.


Untuk diri saya pula, sekiranya diberikan peluang untuk melanjutkan penyelidikan dalam kimia, saya berhasrat untuk mendalami kimia hasilan semula jadi (baca: natural product chemistry), iaitu salah satu cabang dari kimia bio-organik. 

Saya yakin ramuan-ramuan yang digunakan oleh masyarakat terdahulu mempunyai seribu satu khasiat yang mampu membuka dimensi baru dalam dunia perubatan dan farmakologi (pendekatan etnobotanikal). Lagipun, kimia organik ini adalah salah satu cabang yang agak mencabar dan menguji kreativiti dan daya analitikal yang tinggi. 

Saya juga ingin menerapkan prinsip Green Chemistry, iaitu amalan pensintesisan sebatian kimia yang mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar. Harapannya dengan penemuan sebatian yang baru ini akan dapat menyumbang kepada kajian kimia yang sedia ada, seterusnya memartabatkan lagi industri kimia negara yang sering dimomokkan dengan industri yang menyebabkan malapetaka dan bencana kepada manusia dan alam sekitar.

(Ayat-ayat di atas dikarang sebelum berlakunya beberapa peristiwa yang menghempap mental dan jiwa saya).

Jadi Farid, sekarang tengah buat apa?

InshaAllah, bulan 10 ini saya bakal memulakan kajian Master saya di UTP. Bidang kajian saya agak lain sedikit daripada kebiasaan saya, iaitu bidang polimer. 

Harapnya saya dapat mengubati kekecewaan saya setelah saya tidak berjaya mencapai target yang saya inginkan sewaktu menjalankan projek akhir tahun di UKM. Kecewa tu sampai saya menangis berguling-guling atas lantai makmal. Eh.

Permohonan Master saya masih dalam progres, jadi saya mula sebagai research assistant dahulu. Cuma saya agak takut dan was-was dengan title Chemical Engineering yang bakal saya pegang nanti. 

Mujurlah setelah berbalas-balas emel dengan bakal penyelia saya, beliau telah meyakinkan saya bahawa fokus penyelidikan saya adalah lebih kepada kimia. Untuk bahagian yang lebih teknikal, ada researcher lain yang akan buat.

Doakan saya agar diberikan kekuatan dan semangat, walaupun saya ada juga rasa nak tinggalkan dunia penyelidikan sains ini. 

Biasalah, hati berbolak-balik.

Farid Majid.

---

Saya baru buka sidang konvokesyen saya yang bakal berlangsung pada hujung bulan 10 ini. Tiba-tiba termenggelabah lepas tengok ada tunggakan saman trafik sebanyak RM 50. Adoi. Setahu saya rekod saman saya sudah clear.

Mujurlah lepas calling-calling pak polisi UKM urusan saman dah settle.

InshaAllah kita bertemu selepas sidang konvo dan beramah mesra. Dah macam artis gitu wahahaha.




Tuesday, September 5, 2017

Kecanduan Media Sosial

'I fear the day that technology will suprass our human interaction. The world will have a generation of idiots.'


Petikan daripada filem Powder (1995)


[Sumber: link]
Sudah lama perkara ini terpendam dalam minda saya. Mengenai kecanduan kita sebagai pengguna media sosial yang seolah-olah tidak dapat membezakan yang mana realiti, yang mana fantasi.

Hari ini kita disuapkan dengan ketagihan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp dan seumpamanya.

Pada satu sisi, ia memang memberikan kebaikan dan manfaat. Media sosial membolehkan kita untuk menggelungsuri maklumat dan berita tanpa sempadan. Dengan membuka handphone sahaja, kita boleh melihat cerita terbaru yang berlaku di serata dunia. Mengenai dunia politik, ekonomi semasa, isu penindasan saudara-saudara Islam kita di Gaza, Myanmar dan negara-negara yang terlibat.

Saya kira itu bagus. Membuka minda kita untuk melihat dunia.

Namun, terlalu taksub dengan media sosial juga sebenarnya memberikan konsekuensi yang bukan sahaja menjejaskan produktiviti seseorang (jika tidak dapat digunakan secara berhemah), bahkan hanya membuatkan orang-orang di sekeliling seperti halimunan.

Pengalaman berkawan dengan rakan-rakan yang taksubkan media sosial adakalanya membuatkan saya rasa kasihan. 

Bayangkan, bangun pagi-pagi sahaja sudah sibuk membuka Whatsapp untuk menyemak mesej, Instagram untuk mengelike gambar-gambar terbaru, Facebook untuk membaca status terkini, dan Twitter untuk membaca kicauan sensasi.

Tidak lupa dengan keyboard warrior yang tidak habis-habis mahu mengomen dan menghentam. Hidupnya hanya untuk mengkritik, tapi tindakan susulan langsung tak dibuat. Cakapnya sahaja yang lebih.

Sedangkan setelah kita bangun, adalah lebih molek untuk melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Tuhan. Bersyukur kepada Pencipta kerana membangkitkan semula diri kita daripada lena yang bersifat 'mati sementara'.

Bukannya diteruskan dengan menatal telefon kesayangan sehingga mata tidak lekang-lekang pada skrin. 

Kadang-kadang, apabila keluar makan dengan rakan-rakan, walaupun duduk bersebelahan atau pun berhadapan, yang difokuskan adalah pada skrin telefon. Benar, memang ada sesi berbual-bual dengan rakan-rakan, tapi apalah maknanya berbual dengan tangan masih menyentuh telefon.

Pernah juga terdetik untuk saya meninggalkan sahaja meja kerana kalau saya ada di hadapan mata pun, saya hanyalah halimunan. Baik saya bercakap dengan kucing.

Boleh gunakan media sosial, tapi berpada-pada. 

Ada masanya kita menggunakan media sosial untuk tujuan kebaikan, ada masanya kita perlu luangkan masa untuk keluarga, untuk rakan-rakan dan masyarakat.

Saya kira jika ada keperluan yang mendesak boleh sahaja minta excuse untuk jawab segala mesej yang datang. Maksud saya, orang yang berada di hadapan kita itu yang lebih utama untuk kita prioritikan.

Benda yang saya cakapkan ini mungkin hanya akan dipandang enteng oleh sesetengah orang. Tapi percayalah, kalau dapat lakukan perubahan sedikit-sedikit, saya yakin akan ada sedikit perubahan yang berlaku dalam kehidupan.

Mengenai produktiviti, dan juga soal perhubungan kita dengan orang lain.

Mengenai sejauh manakah kita telah berjaya menyantuni masyarakat, juga misi untuk mendekatkan mereka yang semakin jauh daripada Tuhan.

Jangan hanya lancang berbicara di media sosial tetapi tangan langsung tidak digerakkan untuk menggugah jiwa insan lain.

Dunia ini, bukan hanya berputar-putar kepada media sosial sahaja.

Friday, August 18, 2017

Manusia Dingin: Petanda Kurang Kasih Sayang?

[Sumber: link]


Kita akan rasa selesa apabila orang yang sedang kita bawa berbual itu menunjukkan riak muka yang ceria, yang penuh dengan senyuman, dan memandang kita dengan sepenuh perhatian.

Bagaimana pula dengan orang yang apabila kita ingin berurusan dengan dia, dia seperti acuh tak acuh sahaja? Sibuk dengan halnya sendiri, seolah-olah tidak mahu dirinya diganggu.

Saya gelar manusia seperti ini sebagai manusia dingin. Mungkin juga boleh dipanggil manusia kurang mesra alam. Sebab layanan yang diberikan bukan hanya membuatkan diri rasa kurang selesa, bahkan kalau boleh, kita tak ingin pun nak bersemuka dengan manusia itu buat kali kedua.

Apa punca wujudnya manusia-manusia seperti ini? Ada banyak teori yang berlingkaran dalam minda saya.

Mungkin manusia itu sebenarnya sedang menghadapi tekanan. Tekanan dari segi kerja, nak kejar dateline. Itu yang dia rasa dirinya tidak mahu diganggu oleh sesiapapun. Kalau ada yang mahu berjumpa dengan dia pun hanyalah orang-orang yang berkepentingan sahaja. Orang lain yang tidak rapat memang tidak dilayan dengan sebaik mungkin.

Double standard. Dengan orang lain diberi layanan ok. Dengan kita diberi layanan dingin, siap ada taufan dan puting beliung. Kadang-kadang sampai saya sendiri pun takut mahu mesej untuk urusan tertentu kerana saya tahu apa yang saya dapat ialah mesej yang sama seperti sikap si penghantar mesej. Mesej berbau dingin dan tidak mesra alam. Apabila kita buat kesilapan yang tidak disengajakan, terus sahaja kita dipersalah dalam segenap inci.

Kurang kasih sayang. Ini juga mungkin faktor yang menyebabkan mengapa orang yang kita rasa berwajah dingin itu, berjiwa dingin. Boleh bezakan manusia berjiwa kasih sayang dan manusia tanpa jiwa kasih sayang. Manusia berjiwa kasih sayang, apabila kita berurusan, kita ada dapat rasakan ketenangan kerana setiap butir bicara yang dia ungkapkan  menyebabkan diri kita rasa dihargai.

Berbanding dengan manusia yang bukan berjiwa kasih sayang. Senyum tidak. Pandang pun tidak. Apabila disoal, sepatah dijawab. Apabila kita ingin meminta kepastian mengenai suatu permasalahan, kita pula yang dipersalahkan. Kemudian, mulalah mencari setiap inci kesalahan kita. Itu yang membuatkan kita terpaksa berhati-hati bercakap. Cakap salah, terus dikririk. Jadi tunggul kayu sajalah kalau macam tu?

Apa yang menyebabkan manusia dingin tidak dapat rasa kasih sayang dalam diri? Berbalik kepada diri sebenarnya. Kita hanya akan dapat memperoleh rasa kasih sayang, apabila kita sendiri yang memberikan kasih sayang kepada orang lain. Kasih sayang itu milik semua.

Tuhan cipta kita di atas muka bumi ini pun, untuk kita saling mengenali dan berkasih sayang. Berkasih sayang tidak mengenal rupa dan warna kulit. Berkasih sayang kerana kita semua merupakan saudara seIslam. Bukan disebabkan kau bukan keluarga dan darah daging aku atau kau hanya pekerja bawahan aku atau kau cuma student universiti jadi kau tak ada apa-apa kaitan dengan aku.

Yang cuba memberikan rasa kasih dan sayang,
Farid Majid.

(:

Monday, May 15, 2017

Pandang Manusia dengan Kasih Sayang

Kadang-kadang, apabila ada rakan-rakan saya sendiri, yang sedang mengutuk si fulan bin fulan, saya rasa tak sedap hati. Makin saya mendengar bual bicara mereka, makin saya rasa tenat.

Pernah juga ada rakan yang beritahu saya, bahawa si fulan bin fulan itu perangai entah apa-apa. Seolah-olah rakan itu mahu beritahu saya, "Awak kena jauhkan diri daripada dia."

Mendengar cakap-cakap daripada orang kemudian terus menilai orang yang dimaksudkan. 

Senangnya manusia menilai seseorang daripada luaran. Senangnya manusia menghukum seseorang tanpa dia sendiri selidiki dan kenali hati budi orang yang sedang dia kutukkan itu.

Orang yang berjiwa kasih sayang, dia tak akan mengambil kesempatan menceritakan segala kelemahan orang yang dia maksudkan itu, kemudian menyebarkannya kepada orang lain.

Orang yang berjiwa kasih sayang, akan memandang orang yang melakukan kesilapan itu dengan mata nurani. Tak sewenang-wenangnya dia menilai orang itu berdasarkan keaiban yang dilakukan. Kerana dia tahu, semua manusia melakukan kesilapan, dan tugas kita sebagai saudara semuslim, adalah menghulurkan tangan. 

Saling membantu. Saling melengkap.

Bukan saling menghukum dan membenci.

Jangan pernah berasa jijik dengan saudara semuslim kita. Jika ada sekelumit perasaan menyampah, ketahuilah bahawa hati itu sedang bermasalah.

Monday, May 8, 2017

Menghadapi Manusia Negatif Tanpa Rasa Depress

[Sumber imej: link]

Berurusan dengan manusia kini menjadi sebahagian daripada proses kehidupan kita. Ada perkara yang memerlukan kita untuk berinteraksi dengan orang-orang baru dalam hidup kita.

Terkadang expectation kita terhadap orang itu sangat tinggi. Kita anggap orang itu seorang yang sangat baik hati, seorang yang periang, cool, sempoi, sporting, jenis yang membantu, atau yang mudah didekati.

Kita rasa "Oh, dia. Mesti dia ni orang yang baik-baik. Nampak muka dia dari jauh pun aku tengok ok saja."

Sampailah tiba saatnya apabila kita sendiri bersemuka dengan orang yang kita sangka baik itu, dan apabila taringnya dibuka, terasa seperti ditipu.

Orang yang kita anggap baik hati dan mudah didekati itu, rupanya seorang yang sangat dingin, yang suka marah, yang suka mencari kesalahan orang, mengkritik kaw-kaw kononnya dialah yang paling baik di dunia ni dan seumpamanya.

Waktu itu mungkin perasaan husnudzon kita seakan-akan kulit bawang yang dihiris halus-halus. Makin dihiris makin kita rasa pedih, makin kita rasa nak menangis lagi, dan lagi.

Teruskan dengan perasaan husnudzon itu atau yang dimaksudkan bersangka baik. Bersangka baik dengan orang yang kita rasa baik dan mudah untuk bekerjasama. Walaupun setiap kali kita ingin berurusan kita rasa seperti mahu mengelakkan diri dari dia, ingin berlari jauh. Kalau boleh tak nak jumpa langsung. Tapi atas desakan sesuatu yang memerlukan kita sendiri berjumpa dengan dia, membuatkan kita perlu juga menghadapi situasi-situasi yang adakalanya kurang menyenangkan itu

Langkah pertama yang perlu kita lakukan, adalah sabar. Sabar sahaja dengan sikapnya yang membuatkan kita rasa kurang selesa. Mungkin juga ini ujian Tuhan, untuk melihat sejauh mana respon kita apabila berhadapan dengan orang seperti itu. Apakah kita mampu untuk mengambil hikmah atau sebaliknya. Bila dia lawan, kita tak payah lawan. Kita sabar sahaja. Biarkan dia bercakap apa yang dia mahu cakap.

Kemudian, tetapkan dalam hati untuk sentiasa berasa tenang. Orang tenang selalu menang. Orang tak tenang selalu jatuh terkangkang. Saya kira orang seperti itu mungkin kekurangan kasih sayang, lalu membuatkan hatinya kurang tenang, menyebabkan dia bersikap sedemikian terhadap kita. Cuba buat macam ini. Apabila ingin berjumpa dengan dia, berlagak seperti orang tenang. Cakap dengan nada yang tenang. Tak perlu tergopoh-gapah dan tak perlu timbulkan rasa ingin berdebat. Biar orang yang kita kurang senang itu menghamburkan segalanya. Kita, duduk diam-diam dan dengar sudah.

Seterusnya, kena yakin pada diri. Kena berani berhadapan dengan apa juga kemungkinan yang berlaku. Biasalah, apabila kita melakukan kesilapan, terus kita diserang bertubi-tubi. Langsung tidak mahu diberi ruang untuk kita berbicara sepatah dua. Itu fitrah manusia yang ego dan tamak. Rasa diri sendiri betul. Kita, jangan takut-takut. Apabila bersemuka, cakap dengan penuh berisi. Tak perlu untuk memerli dan mengutuk. Biar dia yang nak kutuk kita. Kita, cukup dengan kesopanan dalam berkomunikasi. Orang akan suka dengan sikap kita yang mesra dan penuh senyuman, berbanding orang yang masam mukanya sepanjang masa.

Don't take it personally. Saya tahu ini agak sukar. Kita dah cuba yang terbaik, untuk bersikap baik dan mesra alam dengan orang. Tapi, apabila orang bersikap negatif kepada kita, kita rasa moody yang teramat. Langsung hilang selera nak makan, hilang mood nak buat kerja. Sahabat, walau apapun yang dia tohmahkan kepada kita, usah ambil secara serius. Biarkan ia berlalu. Jika ia nasihat yang berguna, simpan. Jika hanya lebih kepada emosi, abaikan. Teruskan hidup. Move on. Tak perlu nak fokus kepada masalah orang tu. Masalah dia masalah dia sendiri. Fokus benda lain yang lebih bermakna buat diri kita. Jangan biarkan sikapnya yang seperti itu membuatkan kehidupan kita tergugat.

Dan akhir sekali, adalah mendoakan kebaikan. Sebab kita hanyalah manusia. Kita tak mampu nak sentuh hati manusia untuk bersikap lembut hati. Adakalanya kita tak minta pun orang buat begitu kepada kita. Orang yang mungkin sepatutnya harus bersikap mesra atau buat baik kepada kita tapi apa yang kita dapat hanyalah layanan seperti anjing kurap. Mungkin juga dia sedang depress. Tapi malangnya dia sendiri tak mampu nak kawal depress, sehingga akhirnya bersikap negatif kepada orang di sekelilingnya.

"Ya Allah, Engkau lembutkanlah hati mereka yang berada di sekelilingku."

Itu doa yang saya sebut setiap kali selesai solat, in sha Allah. Saya berdoa agar Tuhan memberikan saya rasa ketenteraman apabila berjumpa dengan orang-orang sebegini. Akhirnya yang mampu saya buat ialah berdoa dan bertawakal. Itu sahaja.

Yang lain, teruskan dengan sikap kita yang menenangkan. Kekalkan aura positif dan akhlak yang murni. Bukan untuk dipijak-pijak, tapi kita mahu mencontohi akhlak Rasulullah salallahu alaihi wassalam. Nabi sendiri lagilah banyak ujian yang menimpa, tapi masih dengan akhlaknya yang menjadi pedoman kita.

Semoga kita juga mampu mencontohi pemimpin teragung kita itu, in sha Allah.


Wednesday, April 19, 2017

Everything Will Be Okay

[Sumber imej: link]

Setiap hari, selepas bangun, saya akan cakap pada diri sendiri.

Hari ini akan jadi hari yang lebih baik.

Sesuatu yang menyenangkan hati akan berlaku pada hari ini.

Hari ini adalah hari yang penuh dengan magis!

Saya nak lupakan perkara yang telah berlalu pada hari semalam, dua hari lepas, minggu lepas, bulan lepas, tahun lepas dan zaman-zaman silam, yang mustahil untuk diputar kembali. Mengenangkan perkara silam tidak memberi apa-apa.

Mengenang-ngenang perkara yang pahit, hanya akan membuatkan diri rasa gusar dan sakit hati. Buat apa mahu difikirkan lagi.

Saya tahu hari ini adalah hari yang menggembirakan, walaupun ya, mungkin nanti akan ada orang yang bersifat acuh tidak acuh, tiba-tiba memarahi diri, mengkritik segala kekurangan diri, memandang diri ini sebelah mata, sengaja menyakitkan hati, mahu menyindir dan memerli dan segala macam perkara yang membuatkan diri ini lagi sakit.

Saya meneguk teh panas. Saya ingin menelan segala kepahitan yang mungkin akan berlaku. Biarlah apa yang nak jadi kepada diri saya.

Ingin saya ingatkan semula pada diri ini. Bahawa segala yang menimpa ini tak akan berlaku tanpa izin-Nya. Tuhan yang membenarkan semua ini berlaku. Lalu buat apa saya perlu merunsingkan fikiran, mempersoalkan itu dan ini. Mempersoalkan si polan bin polan yang perangainya macam itu. Memperdebat sikap si polan binti polan yang sememangnya macam itu.

Pasti ada hikmah. Tuhan datangkan manusia seperti itu mendatangi kita, agar hati ini bisa lebih cekal dan kuat. Tuhan datangkan tribulasi dan mehnah, agar diri ini hanya bergantung sepenuhnya kepada yang memberikan tribulasi dan mehnah.

Orang balas kita dengan kezaliman, kita balas dengan kebaikan.
Orang mahu memutuskan tali silaturahim dengan kita, kita berusaha untuk mengembalikan semula tali persahabatan.
Orang bersikap acuh tak acuh kepada kita, kita balas dengan akhlak yang mulia.

Selebihnya, kita berdoa dan bertawakal kepada Tuhan.

Bukankah dalam setiap kesenangan itu akan diselangi dengan kesulitan, dan dalam setiap kesusahan itu akan diselangi dengan kemudahan?

Saya teguk lagi teh panas yang sudah menjadi teh suam, tapi masih manis dengan lemak susunya.

Buat yang rasa ingin putus asa dalam hidup, mari kita bermuhasabah bersama-sama. Renungi semula ke dalam diri. Diri saya dan anda dicipta bukan untuk disia-siakan. 

Biarlah manusia ingin mengumpat, mencerca, memarahi, menghina dan melakukan segala yang mungkin membuatkan hati kita lagi kurang senang dan muram.

Tuhan tak akan uji kita kalau kita tak mampu. Tuhan tahu diri kita kuat untuk mengharungi semua ini.

Berjalanlah. Berdoalah. Dan senyum.

Hadapi hari ini dan hari-hari esok dengan pandangan hati.

Carilah redha Allah, bukan redha manusia.

:)

Monday, March 20, 2017

Tak Nak Terlalu Mengharap

[Sumber imej: Link]

Saya membesar dengan keyakinan, bahawa apa yang saya inginkan, akan pasti menjadi milik saya.

Saya akan rasa gembira bila apa yang saya nak menjadi kenyataan.
Dan saya akan rasa sakit yang teramat, apabila perkara tidak menjadi seperti yang diinginkan.

Tapi sampai bila saya nak terus-menerus mengharapkan sesuatu yang hanya bertujuan memuaskan kehendak saya?

Kadang diri tak sedar, yang diri ini hanyalah hamba yang tidak punya apa-apa.

Mungkin terlalu mengharapkan pada sesuatu yang sebenarnya hanya bersifat sementara.

Yang bersifat rapuh.

Sehingga diri ini tidak sedar, bila-bila masa sahaja, ranting yang diri ini memaut, bisa patah bila-bila masa.

Dan sakitnya badan apabila menghempap ke bumi, hanya diri sendiri yang rasai hentamannya.

Manusia kadang-kadang terlalu taksubkan perkara yang bersifat duniawi. Terlalu mengejar cita-cita yang hanya bersifat sementara. Sedangkan ada cita-cita lain yang lebih penting lagi, yang boleh memberi kita nilai tambah bukan sahaja di dunia, bahkan di hari sana nanti.

Mengapa perlu saya mencari manusia? Terkadang saya sakit hati. Saya terlalu inginkan kesempurnaan. Sudahnya apabila apa yang saya mahu itu tidak mampu dipenuhi, saya jadi emosi.

Saya kira ini adalah sebahagian dari proses pendewasaan saya.

Untuk saya membiasakan diri dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi dalam dunia perhubungan dengan manusia.

Untuk mematangkan diri ini. Juga agar bisa menjadi manusia yang kental jiwa dan hati nuraninya.

:)


Sunday, March 5, 2017

Resolusi Hati


[Sumber imej: Link]


Saya ada suatu simptom yang pelik.

Saya takut dengan kebahagiaan atau kesenangan, kerana saya seolah-olah tahu, akan ada sesuatu perkara yang saya tidak ingini, akan berlaku.

Normalkah?

Saya rasa orang lain juga mempunyai perasaan yang sama. Setiap daripada kita inginkan kesempurnaan hidup. Kalau boleh, kita mahu setiap inci dari kehidupan kita, diwarnai dengan gelombang-gelombang keceriaan. Ingin jauh dari segala yang boleh membuatkan hati kita rasa terluka. Saya terlalu taksub, sehingga saat Tuhan datangkan ujian, saya jatuh tersungkur.

Rakan-rakan dan pensyarah sangat mengenali saya sebagai seorang mahasiswa yang tidak pernah membuat masalah. Saya selesa dengan comfort zone itu. Mungkin juga apabila selalu mendengar perkataan yang positif daripada mereka, menjadikan ia adalah suatu doa kepada saya. Agar istiqamah dengan aura positif, untuk menyenangkan orang di sekeliling.

Begitulah rutin yang cuba saya amalkan selama beberapa semester di kampus, sehingga pada satu saat, Tuhan cabar keupayaan saya. 

Saya sudah memasang azam untuk memulakan semester keenam ini. Saya mahu mulakan minggu pertama dengan semangat yang berkobar-kobar, di samping terus istiqamah dengan niat yang satu itu. 

Tapi, semester baru saya ini dinodai dengan perkara, yang memberikan kesan kepada saya. Kesan emosi yang begitu mendalam dalam diri saya. Muamalah dengan manusia, yang Tuhan ciptakan karakter mereka yang berbeza-beza.

Saya tewas lagi, tapi tewas yang menimbulkan aura lain dalam diri ini. Sesuatu yang melemahkan hati. Entahlah, sukar untuk diungkapkan. Berkali-kali saya cuba untuk menenangkan hati yang semakin kacau.

"Sabarlah wahai hati."

"Jangan difikirkan lagi perkara yang sudah berlalu. Pasti ada hikmah, yang Tuhan selitkan."

"Jangan sedih lagi, ya?"

Saya bermonolog. Tetapi, ketenangan itu seolah-olah melambai-lambai ke arah saya. Saya cuba mengejar, namun ia senyum dengan penuh kelicikan.

Pada saat saya ingin husnudzon dengan segala yang berlaku, datang pula hasutan-hasutan, yang cuba menukarkan rasa sangka baik saya, kepada sesuatu yang negatif.

Saya cuba untuk tidak mahu bergantung dengan orang lain. Cuba untuk tidak meluahkan dengan mereka, yang saya anggap sahabat. Berkomunikasi dengan ibu dan ayah di corong telefon menjadi pilihan. Namun, saya masih rasa kosong.

Saya perlukan seseorang, untuk bercakap di hadapan saya.

Saya malu sekiranya saya hubungi sahabat saya. 

"Kalau aku tak ada, kau nak cari siapa, Farid?"

Saya pernah berjanji, untuk tidak mencari beliau sekiranya saya ditimpa masalah. Kerana orang pertama yang patut saya kembalikan rasa hati ini, adalah kepada yang Menciptakan rasa hati ini.

Lalu, saya cari teman-teman lain. Saya mesej setiap orang yang berpotensi untuk meminjamkan telinga mereka kepada saya. Saya perlu juga luahkan sesuatu. Dengan harapan, rasa beban dalam hati itu dapat dilepaskan.

Hari-hari seterusnya, perasaan saya kembali normal. 

Saya mula bersangka baik setiap kali saya baru bangun dari tidur. Saya berpositif, bahawa hari ini, adalah hari yang menjanjikan senyuman buat diri saya.

Walaupun saya tahu, pasti ada hal-hal yang tidak menyenangkan akan berlaku. Maksud saya, sampai bila saya mahu harapkan hari demi hari yang dipenuhi dengan kesempurnaan?

Kedewasaan.

Inilah proses yang sedang saya hadapi. Kedewasaan yang saya inginkan dahulu, sebenarnya tidaklah seindah seperti yang disangka. Kedewasaan itu mungkin suatu kebebasan daripada cengkaman dunia remaja, tetapi ada perkara lain lagi yang lebih penting.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"

Surah Al-Ankabut, ayat ke-2.

Muamalah dengan manusia adalah salah satu 'tribulasi' yang sedang saya hadapi. Bagaimana saya mampu untuk menjaga akhlak, mengawal emosi dan bertindak secara rasional terhadap manusia-manusia yang saya temui.

Ada manusia yang menyenangkan, ada manusia yang menjengkelkan, ada juga manusia yang membuatkan hati saya sakit yang teramat. 

Terima kasih kepada kedewasaan. Saya tahu saya bukan lagi kanak-kanak yang menanti untuk dibelai apabila dijentik dengan sebuah kepahitan. Kedewasaan menjadikan saya lebih matang dalam menghadapi situasi-situasi yang tidak menyenangkan. Mungkin tidaklah matang secara total, tapi cukuplah membuat saya bersyukur, bahawa Tuhan sedang melatih saya untuk menjadi seorang muslim yang cekal dan sado hatinya.

:)