Monday, May 15, 2017

Pandang Manusia dengan Kasih Sayang

Kadang-kadang, apabila ada rakan-rakan saya sendiri, yang sedang mengutuk si fulan bin fulan, saya rasa tak sedap hati. Makin saya mendengar bual bicara mereka, makin saya rasa tenat.

Pernah juga ada rakan yang beritahu saya, bahawa si fulan bin fulan itu perangai entah apa-apa. Seolah-olah rakan itu mahu beritahu saya, "Awak kena jauhkan diri daripada dia."

Mendengar cakap-cakap daripada orang kemudian terus menilai orang yang dimaksudkan. 

Senangnya manusia menilai seseorang daripada luaran. Senangnya manusia menghukum seseorang tanpa dia sendiri selidiki dan kenali hati budi orang yang sedang dia kutukkan itu.

Orang yang berjiwa kasih sayang, dia tak akan mengambil kesempatan menceritakan segala kelemahan orang yang dia maksudkan itu, kemudian menyebarkannya kepada orang lain.

Orang yang berjiwa kasih sayang, akan memandang orang yang melakukan kesilapan itu dengan mata nurani. Tak sewenang-wenangnya dia menilai orang itu berdasarkan keaiban yang dilakukan. Kerana dia tahu, semua manusia melakukan kesilapan, dan tugas kita sebagai saudara semuslim, adalah menghulurkan tangan. 

Saling membantu. Saling melengkap.

Bukan saling menghukum dan membenci.

Jangan pernah berasa jijik dengan saudara semuslim kita. Jika ada sekelumit perasaan menyampah, ketahuilah bahawa hati itu sedang bermasalah.

Monday, May 8, 2017

Menghadapi Manusia Negatif Tanpa Rasa Depress

[Sumber imej: link]

Berurusan dengan manusia kini menjadi sebahagian daripada proses kehidupan kita. Ada perkara yang memerlukan kita untuk berinteraksi dengan orang-orang baru dalam hidup kita.

Terkadang expectation kita terhadap orang itu sangat tinggi. Kita anggap orang itu seorang yang sangat baik hati, seorang yang periang, cool, sempoi, sporting, jenis yang membantu, atau yang mudah didekati.

Kita rasa "Oh, dia. Mesti dia ni orang yang baik-baik. Nampak muka dia dari jauh pun aku tengok ok saja."

Sampailah tiba saatnya apabila kita sendiri bersemuka dengan orang yang kita sangka baik itu, dan apabila taringnya dibuka, terasa seperti ditipu.

Orang yang kita anggap baik hati dan mudah didekati itu, rupanya seorang yang sangat dingin, yang suka marah, yang suka mencari kesalahan orang, mengkritik kaw-kaw kononnya dialah yang paling baik di dunia ni dan seumpamanya.

Waktu itu mungkin perasaan husnudzon kita seakan-akan kulit bawang yang dihiris halus-halus. Makin dihiris makin kita rasa pedih, makin kita rasa nak menangis lagi, dan lagi.

Teruskan dengan perasaan husnudzon itu atau yang dimaksudkan bersangka baik. Bersangka baik dengan orang yang kita rasa baik dan mudah untuk bekerjasama. Walaupun setiap kali kita ingin berurusan kita rasa seperti mahu mengelakkan diri dari dia, ingin berlari jauh. Kalau boleh tak nak jumpa langsung. Tapi atas desakan sesuatu yang memerlukan kita sendiri berjumpa dengan dia, membuatkan kita perlu juga menghadapi situasi-situasi yang adakalanya kurang menyenangkan itu

Langkah pertama yang perlu kita lakukan, adalah sabar. Sabar sahaja dengan sikapnya yang membuatkan kita rasa kurang selesa. Mungkin juga ini ujian Tuhan, untuk melihat sejauh mana respon kita apabila berhadapan dengan orang seperti itu. Apakah kita mampu untuk mengambil hikmah atau sebaliknya. Bila dia lawan, kita tak payah lawan. Kita sabar sahaja. Biarkan dia bercakap apa yang dia mahu cakap.

Kemudian, tetapkan dalam hati untuk sentiasa berasa tenang. Orang tenang selalu menang. Orang tak tenang selalu jatuh terkangkang. Saya kira orang seperti itu mungkin kekurangan kasih sayang, lalu membuatkan hatinya kurang tenang, menyebabkan dia bersikap sedemikian terhadap kita. Cuba buat macam ini. Apabila ingin berjumpa dengan dia, berlagak seperti orang tenang. Cakap dengan nada yang tenang. Tak perlu tergopoh-gapah dan tak perlu timbulkan rasa ingin berdebat. Biar orang yang kita kurang senang itu menghamburkan segalanya. Kita, duduk diam-diam dan dengar sudah.

Seterusnya, kena yakin pada diri. Kena berani berhadapan dengan apa juga kemungkinan yang berlaku. Biasalah, apabila kita melakukan kesilapan, terus kita diserang bertubi-tubi. Langsung tidak mahu diberi ruang untuk kita berbicara sepatah dua. Itu fitrah manusia yang ego dan tamak. Rasa diri sendiri betul. Kita, jangan takut-takut. Apabila bersemuka, cakap dengan penuh berisi. Tak perlu untuk memerli dan mengutuk. Biar dia yang nak kutuk kita. Kita, cukup dengan kesopanan dalam berkomunikasi. Orang akan suka dengan sikap kita yang mesra dan penuh senyuman, berbanding orang yang masam mukanya sepanjang masa.

Don't take it personally. Saya tahu ini agak sukar. Kita dah cuba yang terbaik, untuk bersikap baik dan mesra alam dengan orang. Tapi, apabila orang bersikap negatif kepada kita, kita rasa moody yang teramat. Langsung hilang selera nak makan, hilang mood nak buat kerja. Sahabat, walau apapun yang dia tohmahkan kepada kita, usah ambil secara serius. Biarkan ia berlalu. Jika ia nasihat yang berguna, simpan. Jika hanya lebih kepada emosi, abaikan. Teruskan hidup. Move on. Tak perlu nak fokus kepada masalah orang tu. Masalah dia masalah dia sendiri. Fokus benda lain yang lebih bermakna buat diri kita. Jangan biarkan sikapnya yang seperti itu membuatkan kehidupan kita tergugat.

Dan akhir sekali, adalah mendoakan kebaikan. Sebab kita hanyalah manusia. Kita tak mampu nak sentuh hati manusia untuk bersikap lembut hati. Adakalanya kita tak minta pun orang buat begitu kepada kita. Orang yang mungkin sepatutnya harus bersikap mesra atau buat baik kepada kita tapi apa yang kita dapat hanyalah layanan seperti anjing kurap. Mungkin juga dia sedang depress. Tapi malangnya dia sendiri tak mampu nak kawal depress, sehingga akhirnya bersikap negatif kepada orang di sekelilingnya.

"Ya Allah, Engkau lembutkanlah hati mereka yang berada di sekelilingku."

Itu doa yang saya sebut setiap kali selesai solat, in sha Allah. Saya berdoa agar Tuhan memberikan saya rasa ketenteraman apabila berjumpa dengan orang-orang sebegini. Akhirnya yang mampu saya buat ialah berdoa dan bertawakal. Itu sahaja.

Yang lain, teruskan dengan sikap kita yang menenangkan. Kekalkan aura positif dan akhlak yang murni. Bukan untuk dipijak-pijak, tapi kita mahu mencontohi akhlak Rasulullah salallahu alaihi wassalam. Nabi sendiri lagilah banyak ujian yang menimpa, tapi masih dengan akhlaknya yang menjadi pedoman kita.

Semoga kita juga mampu mencontohi pemimpin teragung kita itu, in sha Allah.


Wednesday, April 19, 2017

Everything Will Be Okay

[Sumber imej: link]

Setiap hari, selepas bangun, saya akan cakap pada diri sendiri.

Hari ini akan jadi hari yang lebih baik.

Sesuatu yang menyenangkan hati akan berlaku pada hari ini.

Hari ini adalah hari yang penuh dengan magis!

Saya nak lupakan perkara yang telah berlalu pada hari semalam, dua hari lepas, minggu lepas, bulan lepas, tahun lepas dan zaman-zaman silam, yang mustahil untuk diputar kembali. Mengenangkan perkara silam tidak memberi apa-apa.

Mengenang-ngenang perkara yang pahit, hanya akan membuatkan diri rasa gusar dan sakit hati. Buat apa mahu difikirkan lagi.

Saya tahu hari ini adalah hari yang menggembirakan, walaupun ya, mungkin nanti akan ada orang yang bersifat acuh tidak acuh, tiba-tiba memarahi diri, mengkritik segala kekurangan diri, memandang diri ini sebelah mata, sengaja menyakitkan hati, mahu menyindir dan memerli dan segala macam perkara yang membuatkan diri ini lagi sakit.

Saya meneguk teh panas. Saya ingin menelan segala kepahitan yang mungkin akan berlaku. Biarlah apa yang nak jadi kepada diri saya.

Ingin saya ingatkan semula pada diri ini. Bahawa segala yang menimpa ini tak akan berlaku tanpa izin-Nya. Tuhan yang membenarkan semua ini berlaku. Lalu buat apa saya perlu merunsingkan fikiran, mempersoalkan itu dan ini. Mempersoalkan si polan bin polan yang perangainya macam itu. Memperdebat sikap si polan binti polan yang sememangnya macam itu.

Pasti ada hikmah. Tuhan datangkan manusia seperti itu mendatangi kita, agar hati ini bisa lebih cekal dan kuat. Tuhan datangkan tribulasi dan mehnah, agar diri ini hanya bergantung sepenuhnya kepada yang memberikan tribulasi dan mehnah.

Orang balas kita dengan kezaliman, kita balas dengan kebaikan.
Orang mahu memutuskan tali silaturahim dengan kita, kita berusaha untuk mengembalikan semula tali persahabatan.
Orang bersikap acuh tak acuh kepada kita, kita balas dengan akhlak yang mulia.

Selebihnya, kita berdoa dan bertawakal kepada Tuhan.

Bukankah dalam setiap kesenangan itu akan diselangi dengan kesulitan, dan dalam setiap kesusahan itu akan diselangi dengan kemudahan?

Saya teguk lagi teh panas yang sudah menjadi teh suam, tapi masih manis dengan lemak susunya.

Buat yang rasa ingin putus asa dalam hidup, mari kita bermuhasabah bersama-sama. Renungi semula ke dalam diri. Diri saya dan anda dicipta bukan untuk disia-siakan. 

Biarlah manusia ingin mengumpat, mencerca, memarahi, menghina dan melakukan segala yang mungkin membuatkan hati kita lagi kurang senang dan muram.

Tuhan tak akan uji kita kalau kita tak mampu. Tuhan tahu diri kita kuat untuk mengharungi semua ini.

Berjalanlah. Berdoalah. Dan senyum.

Hadapi hari ini dan hari-hari esok dengan pandangan hati.

Carilah redha Allah, bukan redha manusia.

:)