Wednesday, January 10, 2018

Kenapa Saya Tidak Sambung Master di UKM?

Sumber gambar: link


Semenjak saya mula menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), ada beberapa kenalan yang menegur saya.

“Kenapa tak sambung Master di UKM?”

Saya senyum. Tiada sebab yang konkrit untuk saya huraikan. Jenuh juga mencari jawapan yang paling sesuai. Tetapi akhirnya, saya tiada alasan yang munasabah untuk dijadikan sebagai jawapan.

Ia ibaratnya seperti ketika kita memesan nasi goreng pattaya di restoran. Tukang masak restoran itu selalu perasan yang kita selalu order nasi goreng pattaya. Tiba-tiba, pada suatu hari, kita order chicken chop. Kemudian pada hari yang lain, kita order semula nasi goreng pattaya. Walaupun kita tahu, kita rasa muak nak makan benda yang sama, tapi tetap nak order nasi goreng pattaya.

Bukan bermaksud UKM tidak bagus. Tipulah kalau saya cakap UKM tidak memberikan saya fasiliti asas sebagai seorang pelajar Undergraduate. Bahkan UKMlah institusi pertama yang saya letakkan dalam pilihan berbanding universiti-universiti penyelidikan yang lain. Meskipun berkali-kali ibu saya memujuk saya untuk sambung belajar ke Universiti Malaya, saya tetap memilih untuk menjadi graduan UKM.

Mungkin juga kerana suara hati saya mengatakan, bahawa saya perlu mencari sesuatu yang lain. Saya perlu keluar dari zon keselesaan, bukan selamanya disediakan kemudahan sehingga membuatkan kita terlalu alpa.

Tipulah kalau saya tidak rindukan dengan pensyarah-pensyarah yang pernah mengajar saya, terutama sekali pensyarah-pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, yang sekarang dengar khabarnya telah dijenamakan semula menjadi sebuah institusi yang mengaspirasikan penyelidikan bahan novel baru.

Kerana merekalah yang mendorong saya untuk lebih menghargai fundamental ilmu. Kepakaran mereka membuatkan saya teruja untuk mengetahui mengenai perspektif kimia secara teoritikal mahupun dalam bidang aplikasi semasa.

Tapi sampai satu tahap, hati saya mengajak saya untuk tidak asyik berada pada takuk yang lama. Hati saya mengatakan, saya perlu menyebarkan ilmu yang saya perolehi, kepada orang lain pula. Lalu bagaimana untuk bisa saya menyampaikan ilmu?

Dengan mengembara. Pergi ke tempat lain. Bertemu dengan orang baru. Menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Dari situ, pertembungan perspektif khususnya dalam buah fikiran dan pengalaman dapat terlaksana. Mungkin sebelum ini saya sudah terbiasa mendengar perbahasan mengenai struktur molekul dan tindak balas kimia. Di UTP pula, saya perlu berhadapan dengan para penyelidik yang berlatarbelakangkan kejuruteraan kimia. Yang pada saya, mereka ini lebih biasa dengan situasi industri dengan reaktor berskala besar. Mereka golongan yang kritis kerana telah dibiasakan dengan reka bentuk reaktor, pengoptimuman, ekonomi dan kos.

Saya yang langsung tidak tahu menahu mengenai mass balance, fluid mechanic, reaction engineering dan unit conversion perlu merujuk kepada mereka, dan mencari pertembungan disiplin kejuruteraan kimia dan sains kimia, yang akhirnya akan menghilangkan jurang antara kedua-dua bidang ini.

Mereka yang tidak biasa dengan FTIR, struktur molekul etc pula boleh mendapatkan sedikit idea mahupun basic chemistry daripada mereka yang berlatarbelakangkan kimia.

Daripada situ, fundamental kimia akan lebih dihargai sebelum diskalabesarkan menjadi sesuatu produk yang mampu memberi faedah kepada dunia sejagat, inshaAllah.

Jujur, hati saya masih berpaut pada institusi yang memartabatkan bahasa Melayu ini. Doakan saya agar saya mampu menyumbang semula kepada UKM. Dan semoga perjalanan saya sebagai pelajar Sarjana di UTP ini mampu memberikan saya perspektif kehidupan yang lebih meluas.




1 comment:

  1. Moga abang sentiasa tabah walau di mana abang berada. Tidak semua kejayaan berada dalam laluan mudah!

    ReplyDelete