Monday, May 15, 2017

Mengenai Tesis

[Semasa buat pengekstrakan cecair-cecair]

Saat ini saya masih menyiapkan penulisan tesis. Rabu ni dah nak kena hantar. Pening kepala nak tulis. Moga Tuhan berikan kemudahan kepada saya.

Perasaan saya? Entahlah. Bercampur-campur.

Saya yang pada mulanya berasa bersemangat untuk melakukan kajian mengenai hasilan semula jadi, tiba-tiba jadi tak semangat sepanjang proses menyiapkan kajian dan penulisan tesis.

Diuji dengan alat rosak. Bila alat rosak, dah tak boleh tak proceed ke step seterusnya. Mujurlah sempat buat satu dua analisis. Kawan-kawan saya ada yang buat sampai lima enam analisis. Segan dan cemburu saya.

Kajian orang lain, bagi saya gempak-gempak belaka. Buat sintesis sebatian baru, kemudian daripada hasil itu diaplikasikan dalam teknologi masa kini, seperti aktiviti biologi, jerapan air dan seumpamanya.

Saya sengaja pilih tajuk yang ringkas-ringkas setelah tajuk kajian dinaikkan dalam notis. Sengaja saya pilih pensyarah saya yang pakar dalam analisis NMR (Nuklear Magnetic Resonance). Saya jatuh cinta dengan NMR sebab bagi saya itu kekuatan yang ada pada orang kimia.

Umpamanya ada orang lain terjumpa sampel tepi jalan. Dia bagi kita sampel tu untuk analisis. Hanya kita, yang memiliki ilmu pencirian struktur ini dapat menentukan apakah ikatan-ikatan atom yang wujud dalam struktur molekul sampel tersebut.

Sebab itulah saya pilih tajuk hasilan semula jadi. Kita ambil bunga, kemudian kita jadikan ekstrak kasar. Lalu kita jalankan teknik pemisahan untuk kita pecah-pecahkan kepada komposisi yang lebih kecil. 

Daripada situ kita buat lagi pemisahan untuk kita kenal pasti, apa sebatian-sebatian yang hadir. Dengan menggunakan instrumen yang canggih, kita boleh kenalpasti apakah sebatian yang terkandung dalam bunga yang kita pilih. Sebatian yang kita kaji itu pula berkemungkinan mempunyai kesan yang baik dalam aktiviti antioksidan. Ini sangat penting khususnya dalam dunia farmakologi dan dunia perubatan. Daripada tumbuh-tumbuhan kita dapatkan sebatian yang boleh kita kaji lagi dan kita dapatkan inspirasi daripada struktur molekulnya, kemudian kita sintesis pula ubat kita sendiri untuk melawan penyakit yang masih tak ada penawarnya lagi.

Semangatnya saya sampai sanggup jumpa bakal penyelia, bertanyakan mengenai kajian ini meskipun pembahagian tajuk belum dikeluarkan lagi.

Sampailah saya diuji dengan beberapa siri ujian yang tidak perlulah saya kongsikan semuanya di sini.

Kadang saya terfikir juga, apa sebenarnya yang Tuhan nak dari saya? Allahu. Saat itu memang rasa putus asa. Rasa nak lari daripada semua orang, atau kalau boleh nak tukar tajuk. Buat polimer ke, buat sintesis ke.

Tapi saya gagahkan diri juga untuk teruskan apa yang ada. Ya, alat rosak. Ini bermaksud saya tak boleh nak mengasingkan walau satu pun sebatian daripada beratus-ratus sebatian yang terkandung dalam ekstrak saya. Bila dah tak boleh asing, saya tak boleh jalankan analisis NMR yang saya gila-gilakan itu. Orang lain yang tak tergila-gilakan NMR, dapat buat pula analisis NMR. Saya je yang melebih-lebih.

Mungkin juga Tuhan mahu menguji apakah saya mampu bersabar dan ikhlas. 

Saat ini juga saya sudah malas mahu ambil tahu progres kajian yang kawan-kawan saya lakukan. Biarlah apa yang mereka sedang buat. Saya doakan agar hasil penyelidikan mereka memberikan suatu input yang bermakna dalam bidang kimia di UKM.

Apa lagi ibrah yang saya dapat apabila diuji? Saya belajar erti menghargai.

Saat saya ditimpa kesusahan dan tak reti nak buat eksperimen, ada insan-insan yang sudi meluangkan masa membantu saya mengenai teknik dalam bidang hasilan semula jadi. Terima kasih, walaupun saya selalu menyusahkan dan adakalanya tidak mengikut standard professionalism sebagai seorang pelajar tajuk akhir apabila berurusan dengan mereka.

"Farid, dah siap tesis ke belum?"

"Farid, jangan lupa siapkan tesis."

"Farid, buat tesis baik-baik. All the best!"

"Jangan putus asa Farid. I know you can do it!"

Terima kasih sebab sentiasa ingatkan saya. Saya doakan anda juga dipermudahkan segala urusan, in sha Allah.

Apa plan selepas ini?

Selepas ini mungkin saya tak akan terlibat lagi dengan dunia penyelidikan kimia. Tapi jika ada rezeki, saya pergi. Cuma hati saya kata, saya patut cuba sesuatu yang lain. Entahlah. Sekejap-sekejap nak buat sekejap-sekejap tak nak. Adakah ini fasa kepramatangan? Mungkin saya terlalu stress, jadi saya perlu tenangkan diri dan jangan biarkan bisikan yang lagi satu membantutkan cita-cita saya untuk terus belajar dan belajar.

(:


No comments:

Post a Comment