Sunday, March 5, 2017

Resolusi Hati


[Sumber imej: Link]


Saya ada suatu simptom yang pelik.

Saya takut dengan kebahagiaan atau kesenangan, kerana saya seolah-olah tahu, akan ada sesuatu perkara yang saya tidak ingini, akan berlaku.

Normalkah?

Saya rasa orang lain juga mempunyai perasaan yang sama. Setiap daripada kita inginkan kesempurnaan hidup. Kalau boleh, kita mahu setiap inci dari kehidupan kita, diwarnai dengan gelombang-gelombang keceriaan. Ingin jauh dari segala yang boleh membuatkan hati kita rasa terluka. Saya terlalu taksub, sehingga saat Tuhan datangkan ujian, saya jatuh tersungkur.

Rakan-rakan dan pensyarah sangat mengenali saya sebagai seorang mahasiswa yang tidak pernah membuat masalah. Saya selesa dengan comfort zone itu. Mungkin juga apabila selalu mendengar perkataan yang positif daripada mereka, menjadikan ia adalah suatu doa kepada saya. Agar istiqamah dengan aura positif, untuk menyenangkan orang di sekeliling.

Begitulah rutin yang cuba saya amalkan selama beberapa semester di kampus, sehingga pada satu saat, Tuhan cabar keupayaan saya. 

Saya sudah memasang azam untuk memulakan semester keenam ini. Saya mahu mulakan minggu pertama dengan semangat yang berkobar-kobar, di samping terus istiqamah dengan niat yang satu itu. 

Tapi, semester baru saya ini dinodai dengan perkara, yang memberikan kesan kepada saya. Kesan emosi yang begitu mendalam dalam diri saya. Muamalah dengan manusia, yang Tuhan ciptakan karakter mereka yang berbeza-beza.

Saya tewas lagi, tapi tewas yang menimbulkan aura lain dalam diri ini. Sesuatu yang melemahkan hati. Entahlah, sukar untuk diungkapkan. Berkali-kali saya cuba untuk menenangkan hati yang semakin kacau.

"Sabarlah wahai hati."

"Jangan difikirkan lagi perkara yang sudah berlalu. Pasti ada hikmah, yang Tuhan selitkan."

"Jangan sedih lagi, ya?"

Saya bermonolog. Tetapi, ketenangan itu seolah-olah melambai-lambai ke arah saya. Saya cuba mengejar, namun ia senyum dengan penuh kelicikan.

Pada saat saya ingin husnudzon dengan segala yang berlaku, datang pula hasutan-hasutan, yang cuba menukarkan rasa sangka baik saya, kepada sesuatu yang negatif.

Saya cuba untuk tidak mahu bergantung dengan orang lain. Cuba untuk tidak meluahkan dengan mereka, yang saya anggap sahabat. Berkomunikasi dengan ibu dan ayah di corong telefon menjadi pilihan. Namun, saya masih rasa kosong.

Saya perlukan seseorang, untuk bercakap di hadapan saya.

Saya malu sekiranya saya hubungi sahabat saya. 

"Kalau aku tak ada, kau nak cari siapa, Farid?"

Saya pernah berjanji, untuk tidak mencari beliau sekiranya saya ditimpa masalah. Kerana orang pertama yang patut saya kembalikan rasa hati ini, adalah kepada yang Menciptakan rasa hati ini.

Lalu, saya cari teman-teman lain. Saya mesej setiap orang yang berpotensi untuk meminjamkan telinga mereka kepada saya. Saya perlu juga luahkan sesuatu. Dengan harapan, rasa beban dalam hati itu dapat dilepaskan.

Hari-hari seterusnya, perasaan saya kembali normal. 

Saya mula bersangka baik setiap kali saya baru bangun dari tidur. Saya berpositif, bahawa hari ini, adalah hari yang menjanjikan senyuman buat diri saya.

Walaupun saya tahu, pasti ada hal-hal yang tidak menyenangkan akan berlaku. Maksud saya, sampai bila saya mahu harapkan hari demi hari yang dipenuhi dengan kesempurnaan?

Kedewasaan.

Inilah proses yang sedang saya hadapi. Kedewasaan yang saya inginkan dahulu, sebenarnya tidaklah seindah seperti yang disangka. Kedewasaan itu mungkin suatu kebebasan daripada cengkaman dunia remaja, tetapi ada perkara lain lagi yang lebih penting.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"

Surah Al-Ankabut, ayat ke-2.

Muamalah dengan manusia adalah salah satu 'tribulasi' yang sedang saya hadapi. Bagaimana saya mampu untuk menjaga akhlak, mengawal emosi dan bertindak secara rasional terhadap manusia-manusia yang saya temui.

Ada manusia yang menyenangkan, ada manusia yang menjengkelkan, ada juga manusia yang membuatkan hati saya sakit yang teramat. 

Terima kasih kepada kedewasaan. Saya tahu saya bukan lagi kanak-kanak yang menanti untuk dibelai apabila dijentik dengan sebuah kepahitan. Kedewasaan menjadikan saya lebih matang dalam menghadapi situasi-situasi yang tidak menyenangkan. Mungkin tidaklah matang secara total, tapi cukuplah membuat saya bersyukur, bahawa Tuhan sedang melatih saya untuk menjadi seorang muslim yang cekal dan sado hatinya.

:)


2 comments: