Sunday, September 18, 2016

Musim Final Year Project

Bismillah.

Semester baru, haruslah dengan semangat yang baru, kan.

Sekarang musim pelajar tahun akhir untuk memilih tajuk fyp (final year project). Projek ini seperti kita buat tesis. Jadi, sebelum menghasilkan tesis, penyelidikan dan kajian perlu dibuat, barulah data dan analisis dapat dibuat.
Kalau anda bercita-cita untuk menyambung dalam bidang kimia, ada beberapa tajuk fyp yang menarik untuk dijadikan kajian.

Tajuk-tajuk fyp ini sudah diasingkan mengikut subdisiplin dalam kimia, dan juga specialisation untuk tajuk yang lebih kepada aplikasi.

Pendek kata, berdasarkan tajuk-tajuk fyp yang dikeluarkan oleh pusat pengajian kami, ada tajuk yang berunsurkan teori, dan ada juga yang terus kepada produk.

Di sini saya rumuskan beberapa bidang tajuk fyp dalam kimia berdasarkan kaca mata saya sendiri.

1. Kimia Tak Organik
Tajuk yang dikeluarkan lebih kepada sintesis. Maksudnya, ada tindak balas antara reagen itu dengan reagen ini. Isu yang diutarakan selalunya dalam penggunaan mangkin, penggunaan bahan yang mesra alam (green chemistry) dan kajian kimia tak organik dalam biologi seperti DNA. Bagi yang power dalam teori-teori seperti teori medan hablur dan diagram MO, mungkin bidang ini sesuai dengan anda.

Solvatokromisme dalam kimia tak organik. Sebatian yang sama menghasilkan warna yang berbeza dalam pelarut yang berbeza.

2. Kimia Organik
Sama macam kimia tak organik. Mostly tajuk yang dikeluarkan ialah mengenai sintesis. Of course, segala ilmu dalam makmal dan teori harus disepadukan agar dapat menghasilkan data yang baik. Teknik-teknik seperti kaedah pemisahan memang selalu digunakan dalam sintesis organik untuk pisahkan komponen yang susah untuk dipisahkan. Sintesis organik ini ada juga aplikasinya dalam bidang lain, seperti sebagai anti-malaria dan juga solar.

Salah satu keadah pemisahan dalam sintesis organik iaitu pengekstrakan menggunakan turas pemisahan.

3. Kimia Hasilan Semula Jadi (Kimia Organik)
Yang saya tahu ia tidak melibatkan sangat mengenai tindak balas. Tajuk yang dikeluarkan adalah bertujuan untuk pelajar mengekstrak sesuatu sebatian dari sumber semula jadi. Sebatian hasilan semula jadi ini pula kompleks-kompleks belaka berbanding sebatian organik biasa. Nak ekstrak katanya susah, nak pisahkan apatah lagi, sebab dalam ekstrak itu mungkin tercampur beberapa sebatian yang lain, jadi sebatian semula jadi yang mahu diekstrak itu haruslah tulen setulen-tulennya. Lastly, pengelusidasian (penentuan struktur molekul) perlu dilakukan untuk mengesahkan identiti sebatian itu, menerusi penggunaan instrumen kimia seperti spektroskopi inframerah, spektroskopi ultralembayung-boleh nampak, spektroskopi resonan magnet nuklear dan spektrometer jisim.

Spesis tumbuhan ini dinamakan sebagai Hibiscus Sabrdariffa atau orang Melayu panggil asam belanda. Dikatakan kelopak bunganya mengandungi sebatian fenolik yang dapat menjadi penawar kepada penyakit tekanan darah tinggi.

(Saya minat tajuk dalam bidang ini, hihi.)

4. Oleokimia
Apa yang saya tahu, tajuk-tajuk dalam bidang ini sangat menarik dan unik. Kebanyakannya adalah untuk menghasilkan produk. Oleokimia adalah kajian kimia yang berkaitrapat dengan minyak, lemak dan sebagainya. Antara tajuk yang agak menarik perhatian saya ialah sabun mandi lutsinar, yogurt, aiskrim, dan sebagainya.

Sabun lutsinar. 

5. Kimia Polimer
Selalunya pelajar-pelajar dalam bidang Teknologi Kimia akan pilih bidang ini. Ia lebih kepada penghasilan polimer, kajian mengenai elektrolit dalam elektrokimia, modifikasi polimer dan sebagainya. Tajuk-tajuk dia pun agak gempak sampai saya sendiri tak mampu nak cerna istilah yang digunakan.

Visual mudah untuk menerangkan apa itu pempolimeran, iaitu pengulangan monomer yang sama untuk menghasilkan rantai polimer panjang yang baru.


6. Kimia Analisis

Saya tak tahu sama ada bidang ini agak senang atau tidak. Basically, pelajar akan kumpul sampel dan buat analisis. Macam senang pula, kan? Ada analisis air, analisis mengenai pencemaran udara dan sebagainya. Kata senior, banyak pengiraan statistik perlu dibuat. Saya yang memang jenis tidak suka menghadap banyak nombor mungkin tak berapa sesuai nak masuk dalam bidang ini. Hihi. (Subjek Kimia Analisis Asas dulu pun dapat C+ kah kah kah).

Analisis air adalah salah satu kajian yang penting dalam kimia analisis, kerana kandungan dalam air mungkin mengandungi bahan-bahan logam atau komponen farmaseutikal yang mungkin memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar, dan tidak elok untuk diminum oleh manusia.

Dalam banyak-banyak bidang ini, saya tertarik dengan kajian hasilan semula jadi.

Pensyarah saya sendiri kata ramai yang tak berapa gemarkan tajuk ini.

Tapi pada saya tajuk ini mempunyai keunikan dan kelebihan yang tersendiri. Sebatian-sebatian yang diekstrak dari tumbuh-tumbuhan misalannya sebenarnya mampu memberi potensi yang besar dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, farmasi dan farmakologi.

Cuma dari kita je sama ada nak atau tak nak.

Apa pun pilihan yang dibuat, didoakan agar Tuhan permudahkan urusan rakan-rakan saya untuk menjalankan projek mengikut minat masing-masing. In sha Allah.