Tuesday, June 28, 2016

Apa Pula Komen Saya Mengenai Subjek-subjek Semester 4?

Bismillah.

Alhamdulillah, peperiksaan final semester baru sahaja berakhir. Bagi yang belum menamatkan lagi sesi peperiksaan, good luck and all the best.

Baik, saya akan ulas secara ringkas mengenai subjek-subjek semester 4 saya sepanjang bergelar mahasiswa dalam bidang Sains Kimia. But first, saya nak beritahu semester 4 ini saya sangat sibuk dengan aktiviti persatuan sehingga adakalanya saya hampir rasa nak putus asa untuk menyeimbangkan dengan akademik. Tapi alhamdulillah, I managed to arrange them based on my priority. 

1. Kimia Polimer II

Ini ialah sambungan dari Kimia Polimer I. Kebanyakan topik adalah mengenai sifat-sifat polimer seperti sifat mekanikal, kekenyalan polimer, dan juga beberapa jenis polimer seperti polimer termoset, polimer hablur, polimer amorfos, polimer koloid dan ada juga disentuh mengenai polimer terbiodegradasi (boleh terurai secara alami). Subjek ini boleh saya katakan agak senang, cuma nota-nota dalam lectures perlu dibaca semula agar dapat faham secara jelas konsep polimer yang diterangkan.

2. Kimia Koordinatan

Mulanya saya fikir subjek inilah yang paling senang. Dimulakan dengan definisi sebatian kompleks, iaitu sebatian yang ada pusat ion logam yang mana mendapat pendermaan elektron secara datif oleh molekul yang dinamakan sebagai ligan. Kami turut diperkenalkan dengan teori medan hablur. Sangat seronok sebenarnya teori ini kerana kita bermain-main dengan geometri sesuatu kompleks, sama ada berbentuk oktahedron, tetrahedron mahupun segi empat sesatah. Tetapi, bila dah masuk teori orbital molekul, saya jadi kaku sikit.  Kemudian bila masuk bahagian kesan herotan Jahn-Teller saya masih boleh faham kerana konsep cukup mudah. Mungkin yang membuatkan saya rasa stress seperti pengisian elektron yang mana kita sebut sebagai simbol sebutan. 



3. Spektroskopi Asas

Ilmu asas ini sepatutnya dipelajari oleh semua pelajar di bawah Pusat Pengajian Kimia dan Sains Makanan, saya rasa. Teori-teori sifat-sifat gelombang dibincangkan dengan begitu menarik sekali oleh pensyarah saya, Dr Siti Fairus. Kemudian kajian mengenai kelakuan molekul apabila dikenakan gelombang seperti mikrogelombang, inframerah, Raman, frekuensi radio dan ultra-lembayung turut diperhalusi. Pengiraannya agak mudah dalam silibus subjek ini. Cuma bila dah masuk bahagian peralihan elektronik, saya agak kaku di situ. Ia sebenarnya sama seperti simbol sebutan dalam subjek Kimia Koordinatan, tetapi untuk yang ini, ada banyak peraturan yang perlu difahami. Kadang-kadang pening juga mana satucara yang betul untuk assign elektron ke dalam orbital. Bahagian LASER saya sangat suka sebab hanya perlu tahu teori, ciri-ciri dan aplikasi.

4. Penentuan Struktur Organik

Saya tak tahu kenapa. Saya ingat saya boleh target yang baik untuk subjek ini. Dimulakan dengan kaedah pemisahan untuk sebatian organik. Kemudian diperkenalkan dengan spektroskopi inframerah untuk pencirian kumpulan-kumpulan berfungsi dalam sesuatu molekul. Ini bagi saya agak mudah. Apabila dah masuk spektroskopi ultra-lembayung pula, tidak banyak informasi yang dapat dicerap. Kebanyakannya hanyalah pengiraan nombor gelombang sesuatu molekul yang mempunyai sistem konjugasi. Tapi Ya Allah, bila dah masuk resonans magnet nuklear, mula-mula saya masih yakin bahawa saya dapat catch-up dengan begitu baik sekali. Sekali dah masuk gandingan spin dan pembelahan spin, saya rasa berada di dunia yang lagi satu. Sampai sekarang saya tak tahu kenapa dan bagaimana untuk mengintepretasi double of doublet, triple of doublet dan sebagainya. Sistem spin seperti ABX, AMX, AA'BB' pun saya agak ketidaktahuan di situ. Spektrometer jisim pula saya main hentam saja dan mengikut logik. Penyusunan semula Mc-Lafferty pun saya seperti biasa, main hentam apabila jawab soalan. Saya harap saya mampu dapat ok untuk subjek ini, kalau tidak mungkin saya kena teruskan projek akhir tahun dengan bidang kimia yang lain selain kimia organik.

5. Kaedah Pemisahan

Subjek ini kadang-kadang membosankan. Saya berkali-kali hampir tersengguk-sengguk dalam kuliah. Sebelum masuk kuliah ini, saya akan pastikan saya beli makanan untuk mengelakkan ngantuk. Mungkin sebab dewan kuliah yang agak besar sehingga menyebabkan saya lebih selesa untuk tidur. Konsep kromatografi lebih banyak fokus kepada jenis-jenis kromatografi. Baca saja nota kuliah confirm dapat skor. Untuk bahagian penyulingan dan penurasan juga agak mudah. Pengiraan pula lebih kepada hukum Raoult, hukum Dalton dan persamaan Clausius-Clapeyron. Untuk bahagian pengekstrakan juga mudah. Cuma mungkin soalan peperiksaan dia agak tricky.

6. Amali Kimia IV

Ini ialah subjek amali terakhir kami. Dimulakan dengan bahagian Kimia Fizik. Sesi makmal agak cepat kerana ia bermain dengan masa. Cuma untuk lab report, kami perlu menulis tangan. Bayangkan graf-graf yang begitu banyak. Kadang-kadang tangan saya melecet sebab terlalu penat menulis lab report. Untuk bahagian Kimia Organik, saya telah buat permintaan kepada pensyarah untuk menulis lab report menggunakan komputer. Jujurnya saya lebih suka amali organik kerana selain dibuat dalam skala yang mikro, saya dapat memahami beberapa konsep yang pernah diajar dalam kuliah seperti kromatografi, penghabluransemula dan lain-lain.



7. Pengurusan Industri Kimia

Subjek ini langsung tidak menyentuh mengenai persamaan Kimia, atau menjangka pelarut dan reagen untuk tindak balas organik. Ia adalah apresiasi mengenai kepentingan pengurusan yang mapan dalam sesuatu industri kimia. Industri kimia sering dikaitkan dengan industri yang membawa malapetaka kepada manusia dan alam sekitar, seperti pengeluaran sisa toksik ke sungai, pelepasan gas berbahaya dan sebagainya. Sedangkan industri inilah yang menjana sumber kepada industri-industri lain bagi memenuhi kelangsungan hidup manusia. Konsep Green Chemistry adalah prinsip yang sedang diusahakan dalam industri kimia agar dapat mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar. Carbon footprint juga adalah topik yang menarik untuk dibincangkan kerana ia dapat memberi kesedaran terhadap globalisasi yang dialami oleh bumi. Life Cycle Analysis pula membawa kita menelusuri bagaimana sesuatu produk direka bentuk dan bagaimana perjalanan akhir hayatnya. ISO 9000 dan ISO 14000 juga adalah topik yang menjadi kegemaran kerana dengan adanya ISO inilah kualiti sesuatu industri dapat dijamin. 

8. Hubungan Etnik

Subjek wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar. Konsep hubungan etnik dibincangkan dengan menarik sekali oleh pensyarah saya, Professor Khairul Anwar. Beliau begitu passion mengenai hubungan etnik dan beliau sendiri meraikan pandangan dari setiap pelajar yang berbilang etnik. Buku modul hubungan etnik pula pada pendapat saya lebih kepada sastera. Ayat-ayatnya perlu dibaca berkali-kali supaya dapat faham konteks sesuatu topik. Penggunaan Open Learning juga sebenarnya memudahkan lagi kefahaman saya mengenai hubungan etnik, sebab saya sukakan grafik dan bahan berbentuk multimedia untuk memahami sesuatu topik.


9. Workplace Communication II

Kursus ini melengkapkan pelajar dengan kemahiran di tempat kerja, seperti penulisan resume, surat cover letter dan amalan di tempat kerja. Oleh sebab ia adalah dalam bahasa Inggeris, maka saya perlu berbicara dalam bahasa Inggeris setiap kali berada dalam kelas ini. Hanya ada 13 orang pelajar, saya seorang sahaja dari bidang sains kimia, selebihnya adalah dari geologi, perakaunan, matematik, sains aktuari dan sains bahan. Mockup interview untuk mencari kerja turut dilakukan dan diberikan markah. Selain itu, kami perlu menemubual majikan sesuatu syarikat untuk melengkapkan tugasan kajian kami. 

Itu sahaja.

Pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui tapi atas rahmat Allah, saya berjaya mengharungi kesemuanya dengan tenang.

In sha Allah, semoga untuk semester hadapan, saya dapat lalui subjek-subjek Kimia dengan azam yang lebih padu dan bersemangat.

Buat para pensyarah, selamat menanda jawapan peperiksaan saya dengan tenang.

Salam sayang dari Farid Majid.

1 comment: