Wednesday, April 15, 2015

Kisah Aku dan Ikim FM

Bismillah.

Pertama sekali, sujud dan syukur kepada Allah SWT atas segala kemudahan yang diberikan.

Sebulan yang lalu, kumpulan aku dalam subjek Dakwah dan Pembangunan dari Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM telah mendapat satu tugasan assignment untuk kami keluar membuat kerja lapangan. Ada banyak tajuk-tajuk assignment yang telah disediakan oleh Ustazah kami dan kami perlu memilih tajuk yang berkenan di hati gitu. 

Semuanya mempunyai tema yang sama, iaitu Dakwah dan Pembangunan. Cumanya, tajuk berbeza-beza. Ada tajuk mengenai dakwah melalui penulisan novel, dakwah melalui nasyid, dakwah melalui aktiviti sukan di universiti, dakwah terhadap artis yang sudah berhijrah (ini tajuk mula-mula yang partner aku nak sangat tu err), dakwah melalui penyiaran TV dan radio dan banyak lagilah.

Pada mulanya aku nak pilih tajuk TV Al-Hijrah sebab dapat pergi ke stesen TV kan. Tapi dalam masa yang sama, ada juga tajuk ke Ikim FM. Kedua-dua tajuk ini mempunyai objektif assignment yang sama, iaitu dakwah melalui media penyiaran untuk membangunkan pemikiran ummah.

Maka untuk tidak mahu menjadi seorang yang terlalu tamak, aku sebagai ketua kumpulan telah menetapkan pendirian untuk memilih tajuk ke Ikim FM. Memandangkan, ada kisah aku dengan Ikim FM yang mungkin aku tak perlu ceritakan kepada you all, atau aku akan ceritakan juga satu hari nanti apabila buku motivasi pertama aku nanti akan terbit tahun ni eh.

Ahli-ahli kumpulan aku yang seramai dua orang itu pun bersetuju.

Maka bermulalah hari-hari yang penuh dengan tribulasi untuk aku mengurus lawatan ke Ikim FM. Aku perlu menghantar emel kepada Ikim FM untuk membuat lawatan dan temu ramah. Emel dihantar, tetapi tidak berbalas berminggu-minggu. Aku tanya Ustazah aku, bagaimana untuk urus lawatan ke Ikim FM, kata Ustazah kepada aku, "Kamu sudah telefon?"

Aku cakap, "Tak."

Sebab aku lebih suka berurusan dengan menggunakan medium emel. Rakan novelis aku, kak Eman Dhani pula menyarankan agar aku membuat surat kebenaran untuk melawat ke Ikim FM. Maka aku pun menyatakan hal surat kebenaran itu kepada Ustazah aku. Ustazah aku pun kata, "Okey, nanti kamu pergi ke bilik saya esok, kita bincang balik mengenai surat serta apa yang perlu kamu buat apabila di Ikim FM nanti."

Maka aku pun pergilah menyempurnakan komitmen, menunggu surat untuk diproses tapi asyik tertunda berhari-hari, kemudian perlu pos pula. Beberapa hari kemudian, aku mengharapkan ada balasan dari Ikim FM, tapi hampa. Tiada.

Ustaz aku yang turut mengajar subjek yang sama menyarankan pula agar aku menghubungi nombor staf IKIM FM yang dia kenal. Aku save number yang Ustaz aku beri, tapi aku tak contact (walaupun dia suruh aku contact tapi nak buat macamana aku lebih suka tunggu respon emel dari IKIM Fm huhu kenapalah perangai aku ni pelik hoho.) 

Akhirnya, aku whatsapp number yang ustaz aku berikan. Lepas beri penjelasan panjang lebar kepada staf Ikim FM, barulah aku dapat respon emel dari Ikim Fm. Kemudian, tak habis lagi. Mereka nak kami datang ke Ikim FM pada waktu bekerja. Aku yang, aduhai. Aku rancang untuk ke stesen radio itu pada hujung minggu supaya proses pembelajaranku di kuliah tak terganggu, lebih-lebih lagi aku ada 26 jam kredit untuk diselesaikan pada semester ini. 

Aku pun agak stress sedikit bagaimana mahu selesaikan konflik ini. Aku pun bertenang, tarik nafas, kemudian duduk demi melegakan fikiran. Memang, dalam dunia ini, kita pasti akan menempuhi kesusahan. Kesusahan yang mungkin kecil bagi orang lain, tapi apabila kita sendiri yang hadapi, bebannya macam nak terjun bangunan.

Lantas aku memohon petunjuk dari Dia, moga-moga adalah ilham bagaimana untuk aku dapat ke Ikim FM tanpa perlu mengganggu pelajaranku.

Dan keputusannya, aku sendiri yang menghubungi Cik Latifah, pembantu Dr. Roskiman, iaitu Ketua Pengarah Media Ikim FM untuk menetapkan tarikh pertemuan kumpulan kami dengan mereka. Cik Latifah cakap, "Okey, Encik perlu emel dahulu ke kami."

Saat itu aku rasa macam, Ya Allah. Dah berapa entah kali aku emel ke Ikim FM. Tapi, aku tenang. Oleh sebab aku mahu menetapkan pendirian yang aku dah emel ke Ikim FM, maka aku pun membalas, "Tapi cik, saya dah emel kepada Ikim FM. Saya dah emel ke Unit Perhubungan Awam, Unit Pengarah Media dan Penyiaran Radio."

Dalam hati, aku berdoa kepada Allah agar beliau memberikan respon positif.

Dan dia pun membalas, "Begini, Encik emel kepada saya. Saya akan hubungi semula Encik untuk saya settlekan tarikh pertemuan kita. Boleh ya encik?"

Aku pun mengiyakan, gagang ditutup, lantas aku membuka telefon bimbit aku, kemudian forward semula emel yang telah aku kirim mula-mula kepada unit-unit yang telah aku mention sebelum ini. Akhirnya aku bertawakal sahaja. Moga-moga, ada respon baik.

Alhamdulillah. Tuhan telah permudahkan urusan aku. Cik Latifah telah menghubungi aku mengenai tarikh pertemuan dengan Ikim FM iaitu pada 13hb April 2015, bersamaan dengan cuti pertengahan semester. Aku tak balik rumah sebab rumah aku di Sabah, dan assignment pula tak siap-siap sekali dengan ulangkaji exam mid semester. Lupa nak cakap, Cik Latifah call aku ketika aku dalam kelas Kimia Organik 1. Nasib baiklah aku duduk di belakang sekali sebab ikut kumpulan, jadi bolehlah aku bercakap dengan nada yang kuat sikit, sebab mula-mula masa kami dua berhubung dalam panggilan, beliau tak dapat dengar suara aku.

Sebelum ke Ikim FM, aku telah membaut sedikit kajian menggunakan bantuan Google Map serta rakan novelis aku, kak Eman Dhani. Menurut Google Map, untuk ke Ikim FM dari UKM, kami perlu naik KTM UKM, berhenti di KTM Putra, kemudian, cari bas RapidKL dengan kod U618 dan turun di Stadium Tenis. Di sebelah Stadium itulah Ikim FM terletak.

Tiba pada hari kejadian, macam-macam pula mehnah (baca: ujian) yang kami perlu tempuhi dari saat kami bergerak daari UKM. Bermula dengan ahli-ahli kumpulan aku yang keletihan kerana baru pulang dari program anak angkat di Perak anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM. Dah namanya letih kan, aku rancang nak gerak jam 9 pagi, tapi bertukar kepada 11 pagi. Masa tu akulah orang paling kalut sebab akulah ketua dan akulah yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya kumpulan kami tak sampai di Ikim FM sebelum pukul 2.45 petang, kerana pertemuan kami dengan Pengarah Media Ikim FM, iaitu Dr. Roskiman adalah pada pukul 3 petang.

Bila dah naik bas dari UKM ke KTM UKM, salah seorang dari ahli kumpulan aku ketinggalan bas, aku ingat dia ada di belakang aku semasa kami dah nak gerak ke bus stop. Tapi Alhamdulillah, roommate aku ada motosikal, so aku call ahli kumpulan aku tu, naik motosikal roommate aku, pergi KTM UKM.

Macam-macam.

Bila dah sampai KTM Putra pula, nak cari bas RapidKL pula satu hal. Tak tahu, sama ada nak cari sebelah kanan, atau sebelah kiri. Aku dengan dua orang kawan ke sebelah kanan, dua orang lain ke sebelah kiri untuk bertanya kepada Pak Cik Teksi untuk mencari keberadaan RapidKL. Akhirnya, kawan-kawan aku yang menuju ke sebelah kiri berlari balik ke arah kami yang nak ke sebelah kanan, memberitahu kepada kami bahawa RapidKL ikut jalan kiri. Okey, aku pun ikutlah laluan ke lorong kiri.

Sampailah kami tiba di stesen RapidKL (yang tak ada bas di situ tapi menyediakan perkhidmatan LRT), kami tanya pula dengan abang kaunter RapidKL, dia cakap, terus jalan ke kiri. Okey, kami pun jalanlah ke kiri. Sambil-sambil jalan tu, aku pun tengoklah dah jam berapa kan. Pukul 12 lebih. Okey. Jangan risau, masih sempat lagi. Sampai ke lorong kiri, bas RapidKL tak juga jumpa-jumpa. Lalu kami bertanya pula kepada pak cik security di hotel sebelah lorong yang kami ikuti. Dia pun cakap benda yang sama, jalan je terus ke kiri. Di situ ada bustop yang akan menanti bas-bas RapidKL.

Okey, dah sampai sana. Bas RapidKL memang banyak yang lalu, tapi kod U618 kami tak jumpa, sebab bas itu yang boleh membawa kami ke Ikim FM. Sambil menani bas RapidKL yang lalu-lalang, sambil aku menatap paparan jam di telefon. Kalut ada, resah ada, cuak pun ada. Yalah, inilah kali pertama aku handle situasi seperti ini, dengan ahli-ahli kumpulan yang bermacam ragam, untuk sampai ke Ikim FM.

Selang beberapa minit, tak juga ada bas RapidKL yang kodnya U618 tu. Akhirnya, kawan aku, Adil mengesyorkan agar kami naik sahaja mana-mana bas RapidKL, sebab kalau asyik tunggu, takkan sampai punya. Bila kami tanya dengan mak cik dalam Bas RapidKL yang berdiri di sebelah tempat duduk pemandu bas, dia pun cakaplah alamat Ikim FM di mana. Aku pun bagilah dia handphone aku baca emel dari Ikim FM yang tertera alamat stesen itu. Mak cik itu tak dapat baca, rabun. Err. Aku pun kalut. Kemudian aku cakaplah Ikim FM tu di Langgak Jalan Duta. Mak cik tu pun 'ooooooo, kalau nak ke situ, naik sahaja bas ni, nanti sampai di Jalan Ismail (entah ni ke jalannya tak ingat), kamu semua naik pula bas yang lain untuk sampai ke sana. 

Actually, aku tak tahu kenapa dalam cerita ini, Mak Cik berperanan sebagai pemandu arah. Sebab sepatutnya yang beri pandu arah ialah pemandu Bas RapidKL, tapi entah kenapa Mak Cik itu yang memberi tunjuk arah. Hmmm. 

Okey, abaikan.

Bila dah sampai ke destinasi, Mak Cik itu pun kata, "Haa, nanti kamu jalan ke kanan, jalan je ke depan, cari bas nombor U115, kemudian berhenti di Jalan Duta ya dik."

Alhamdulillah, Allah permudahkan kami dengan bantuan Mak Cik yang sporting itu tadi, kebetulan dia pun berhenti sekali dengan tempat yang kami berhenti.

Misi seterusnya ialah mencari bas U115 seperti mana yang Mak Cik sporting itu kata. Kami dah berjalan, menyusuri lautan manusia dari pelbagai agama, negara dan bangsa, dah akhirnya kami terjumpa banyak bas. Bukan setakat bas RapidKL, ada juga bas-bas lain yang aku sendiri tak ingat bas syarikat pengendali yang mana satu.

Sesungguhnya pencarian bas untuk sampai ke destinasi adalah hal yang memeritkan, lebih-lebih lagi bila masa semakin suntuk! Aku dah tak tentu arah, bas U115 pun tak ada. Rasa nak putus asa dan batalkan aje pertemuan dengan Ikim lalu menukar tajuk assignment. Tak nak naik teksi sebab teksi mahal, dahlah GST. Oh!

Sekali lagi, Allah menguji hamba-hamba-Nya, untuk melihat sejauh mana kita mampu bersabar dengan dugaan hidup. Waktu telah menunjukkan pukul 1 lebih, bas tak ada, dan kami perlu sampai ke Ikim FM sebelum jam 2.45. Aku pula rasa nak nangis. Rakan aku cuba menenangkan aku, yalah, kalut punya fasal sampai dah macam orang gila.

Sampai di stesen bas RapidKL, lalu aku duduk di sebuah kerusi, bersama rakan-rakanku yang lain. 

Tiba-tiba datang pula seorang Mak Cik Cina, pun duduk di tempat yang sama dengan kami. Salah seorang rakanku mendekati dia dan menanyakan di mana bas U115 itu. Mak Cik itu pun cakaplah, bas U115 tu, adalah bas inilah. Bas yang depan mata aku, yang tak ada pemandu. Oh, okey. Memanglah, kami tak jumpa bas bernombor U115 sebab bas yang dimaksudnya itu sedang rehat dan akan bertolak pada pukul 2 petang.

Tepat pukul 2 petang, kami naik ke bas yang dimaksudkan, Mak Cik Cina itu pun naik sekali, siap pakai telefon dia untuk touch pada panel touch n go untuk bayar tambang. Wow. Kagum pula aku. 

Aku hidupkan GPS dan peta, mahu alert dengan persekitaran, manalah tahu, kalau-kalau nampak dah Bangunan Ikim FM. Dalam perjalanan bas, aku terus berdoa semoga dapat sampai ke Ikim FM. Jam sudah menunjukkan pukul 2.20. Solat Zuhur pun belum terlaksana lagi. Aduhai. Aku rasa tak sedap hati. Kenapa aku rasa macam kami dah melimpasi bangunan Ikim FM. Bila ditanya balik kepada Mak Cik itu mengenai Ikim FM yang terletak di Jalan Duta, Mak Cik itu pun buat muka terkejut. 

Dia cakap, "Oh, Jalan Duta tu, kita sudah limpas. Kamu kena tunggu bas ini berpatah balik."

Dalam hati aku rasa nak menangis tertonggeng-tonggeng. Sabar, Farid. Sabar. Rakan aku cuba menenangkan aku kembali. Mak Cik itu kembali bercerita macamana mahu ke sana. Sebelum dia meninggalkan kami ke lokasi yang dia ingin tujui, sempat dia melambaikan tangannya kepada kami. Rasa macam kawan rapat pula.

Okey, hmmm, panjang juga perjalanan aku nak Ikim FM kan. 

Kami pun berpatah balik tapi bas tu sampai ke Mahkamah Majistret. Tambahlah aku rasa pening sebab kata tadi bas ni nak je Jalan Duta. Tapi Allah sekali lagi menghadirkan seorang Mak Cik yang aku kira layak digelar Ustazah kerana berpakaian labuh dan tudung labuh. Dia sebenarnya mahu turun di Mahkamah Majistret, tapi apabila kami tanya dia bagaimana mahu ke Ikim FM, dia pun beritahulah jalannya. Tapi, pandu arah yang dia berikan, berlainan pula dengan pemandu bas RapidKL. Ustazah cakap ikut jalan besar, yang pemandu bas cakap ikut lorong kecil. Maka, kami memilih untuk ke lorong kecil. Sekali lagi, aku bersyukur kerana dipermudahkan urusan kami oleh insan-insan di sepanjang perjalanan. 

Kumpulan kami turun di Mahkamah Majistret, dan menyusuri lorong kecil menuju ke arah kiri. Jalan punya jalan, terjumpa pula dengan seorang lelaki dewasa, bertanya pula kepada dia, "Ikim FM di mana ya?"

Dia pun tak tahu. Hmmm. Pelik. Kemudian dia cakaplah, di kiri jalan ada Arkib Negara. Hmmm, ok. Aku pun tak tahu apa signifikannya Arkib Negara dan Ikim FM. Aku tanya pula dia, di sini ada tak Stadium Tenis (aku berpandukan rujukan yang diberikan oleh Google Map).

Dan lelaki itu cakap, "Oh, padang hoki ada di depan."

Mungkin lelaki itu memaksudkan stadium tenis. Entahlah. Mungkin juga dia selalu nampak ada Stadium Tenis (yang mungkin dia sangka padang hoki) ketika berulang-alik dari pejabat.

Kumpulan kami pun terus jalan ke depan. Kemudian...

Aku terlihat papan tanda Stadium Tenis!

Allah, syukur Alhamdulillah! Aku rasa nak terlompat dengan penuh riang-rianya walaupun aku tahu jalan yang sedang kami lalui sekarang ialah jalan besar, yang mana apabila kita tak dapat menahan rasa seronok kita, kebarangkalian untuk kita digilis oleh lori besar adalah amat tinggi. 

Aku yakin, Ikim FM berdekatan dengan Stadium Tenis, dan tepat, aku telah terlihat papan tanda Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Wah, alhamdulillah. Kami dah sampai! Ya Allah. Seronok! Setelah bermacam-macam tribulasi yang dilalui, akhirnya Tuhan permudahkan urusan kumpulan aku untuk selamat sampai ke Ikim FM!

Lega rasanya. Aku melihat jam, sudah pukul 2.45 lebih. Oh ou. Lantas aku call Cik Latifah, memberitahu beliau bahawa kami ingin solat dahulu. Cik Latifah pun faham dan memberikan kami ruang dahulu.

Sambil-sambil berjalan, sempat kawan aku rakamkan pemandangan di IKIM. Sejuk mata memandang, seolah-olah berada di madrasah tersohor. Kagum diri ini melihat seni bentuk bangunannya yang menerapkan elemen kesenian Islam. Masha Allah.



Dalam IKIM.


Menuju ke Bahagian Ikim FM.










Segmen-segmen dalam Ikim FM. Untuk makluman, dalam seminggu, IKIM FM menyiarkan sejumlah 52 buah program!


Sedikit jamuan untuk dirasa. Layanan umpana tetamu VIP gitu.


Kejayaan Ikim FM apabila dinobatkan sebagai stesen penyiaran radio pertama di Malaysia yang menggunakan sistem radio digital.


Cenderamata oleh Dr. Roskiman untuk kami. Sekiranya anda ingin mendapatkan audio-audio program di Ikim FM, boleh beli di sini dengan harga satu CD RM20, atau boleh layari laman portal Ikim FM dan muat turun setiap sesi program bual bicara dengan harga RM1 sahaja.


Sebelum balik, aku sempat tanya Kak Rohani boleh tak masuk konti. Dia benarkan kami masuk. Alhamdulillah. Ini antara cita-cita terawal aku dahulu untuk menjadi seorang penyampai radio.




Abang Juruteknik yang mengawal sistem radio. Tak ingat namanya siapa. Abang sporting!






Sebelum kami berpisah dengan Ikim FM. :)
Alhamdulillah.

Meskipun sekejap sahaja pertemuan ini, tetapi kenangan terindah tetap terlakar. Aku memang dari dulu minat dalam bidang penyiaran radio, jadi bila dapat tajuk assignment pergi Ikim FM, aku tak lepaskan peluang keemasan ini. Lagipun, Ikim FM sungguh istimewa bagi aku, kerana Ikim FM ini jugalah antara sumber dan pengantara untuk pengislahan diri ini.

Pertemuan dengan Dr. Roskiman, DJ Rohani, DJ Faiz (yang popular dalam segmen Remaja, dan diminati ramai wah!) serta staf-staf Ikim FM lain yang aku tak ingat semua nama adalah kenangan yang pasti tidak luput di sanubari.

Siapa tahu satu hari nanti, aku dapat rezeki untuk kerja sambilan di IKIM, boleh juga aku kongsi pengetahuan Kimia yang sedang aku belajar sekarang untuk menaikkan martabat Islam dalam dunia keintelektualan.

Daripada perjalanan ke Ikim FM ini, banyak ibrah yang aku dapat. Ujian dan kesusahan pasti ada. Di sebalik kesusahan, pasti ada kesenangan. Kerana Allah ada sebut dalam Surah Insyirah ayat kelima,

Firman Allah SWT :

 فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

"Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan." 

Tamat sudah kisah perjalanan aku ke Ikim FM. Untuk mereka yang mahu membuat lawatan ke Ikim FM dari UKM, sebenarnya route perjalanannya adalah seperti ini,


KTM UKM - KTM PUTRA - STADIUM TENIS.

Untuk sampai ke Stadium Tenis, cari sahaja bas RapidKL bernombor U618. Bila kita dah sampai di KTM Putra, naik atas dan keluar ke kiri. Di situ ada bustop. Jangan jadi macam kami, ikut jalan yang agak jauh sedangkan jalan ikut RapikKL U618 lagi dekat! Aduhai.


Tapi tak apalah. Biar segala mehnah ini menjadi pengalaman paling berharga buat kumpulan aku, juga untuk diri aku, agar menjadi manusia yang tahan cabaran, yang sentiasa sabar, meskipun ujian datang tanpa terduga.

Baik. Semoga catatan ini memberi manfaat.

7 comments:

  1. Wah! Hebatnya perjalanan mencari IKIM FM... Tahniah bang! Nampak lebih matang dan berdikari.... salam rindu dan sayang dari Mummy, Baba, Fuad, Fairuz & Firdaus.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..boleh x sy nk tahu mcm mne nk hubungi IKIMfm..sbb sy bercdg utk adakan lwatn ke sne jga

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam warahmatullah. Cuba lawatanya laman portal Ikim dan dapatkan emel yang berkenaan. Semoga membantu.

      Delete
  3. Assalamualaikum..boleh x sy nk tahu mcm mne nk hubungi IKIMfm..sbb sy bercdg utk adakan lwatn ke sne jga

    ReplyDelete
  4. assalamualaikim, saya cuba cari email ikim tapi ta jump ..blh share..?sama2 mmbantu thanks

    ReplyDelete
  5. direktori staf ikim : http://www.ikim.gov.my/index.php/direktori-staff/

    ReplyDelete

Sila tanda 'Notify Me' supaya anda mendapat balasan komen dari saya in sha Allah. :)