Monday, February 6, 2012

Al-Fatihah Untuk Ayahanda kepada Ayahanda Saya.

Salam Maulidur Rasul.

Al - Fatihah saya ucapkan kepada Allahyarham Haji Rilay a.k.a. ayahanda kepada ayahanda saya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Ada hikmah saya terima permintaan ayah saya untuk menjaga arwah atuk saya di hospital sampai bermalam di sana, walaupun terpaksa tidur terkangkang-kangkang atas dua buah kerusi kayu bersofa nipis yang saya cantumkan. Rupa-rupanya, itulah malam terakhir saya dengan arwah.

Sanggup saya bawa sekali buku-buku sekolah yang harus disiapkan. Saya bawa 2 buah buku rujukan biologi dan kimia yang tebalnya sememangya tidak dapat disangkal lagi keseksaannya ketika membawanya.

Arwah atuk seorang yang warak dan alim. Beliau merupakan bekas imam qariah di kampung saya yang jaraknya tidaklah sampai dari Kuala Lumpur ke Kuala Selangor. Beliau seorang yang pendiam dan tidak sesekali bercakap benda-benda yang tidak berfaedah. Dengar-dengar, ibu saya kata arwah atuk merupakan bekas seorang chef ketika zaman penjajahan British.

Berbalik kepada cerita saya di hospital. Sudah dua kali atuk dimasukkan ke dalam hospital. Sakit? Entah sakit apa. Yang pasti atuk sering sesak nafas dan beliau mempunyai sakit athma, hal ini dapat dibuktikan melalui alat yang digunakannya untuk disedut ke dalam mulut.

Malam itu, hanya saya seorang sahaja yang menjaga atuk. Kami sekeluarga bergilir-gilir menjaganya. Saya melihat betapa mesra dan baiknya para jururawat menjalankan tugas yang diamanahkan. Ketika saya sedang siapkan kerja sekolah, sempat lagi seroang jururawat lelaki mendekati saya dan iktu tengok apa yang saya buat. Kalau tidak silap saya, pada bajunya tergantung kad seperti jururawat pelatih dari master skills. Dia berkata kepada saya bahawa dia tidak meminati kimia. Sebab dia kata, dulu masa sekolahnya, dia selalu di'tendang' keluar dari kelas sebab tidak berjaya menyiapkan jadual berkala unsur. Tapi, dia cakap dia hebat add maths. Bagusnya.

Saya mudah mesra dengan jururawat itu sebab dia kata dia bosan. Kebetulan saya tiada teman untuk berbicara memandangkan atuk saya sedang berehat. Dia juga kata sekiranya ada apa-apa, panggil sahaja dia. Kalau mahu tahu sejauh mana ke'henseman'nya, rambutnya seperti keriting dan berkulit lebih cerah dari saya. Tapi ini bukan bererti saya orang negro yang berkulit hitam minyak yang sudah hangus. Harap maklum. Tingginya lebih kurang saja sama dengan saya. Sebenarnya, jururawat lelaki amat kurang di situ, sebab kerjaya jururawat lebih banyak didominasi oleh golongan wanita.

Saya tidak pernah menemani atuk saya untuk ke tandas. Dan ini ialah kali pertama merangkap kali terakhir saya menghantar atuk ke tandas. Kalau mahu tahu, tandas itu hanya dekat sahaja di wad atuk. Di sebelah. Malangnya, tandas itu tidak ada bekalan air pada masa itu. Paip sedang dibaiki. Saya memimpin atuk ke tandas bersama-sama dengan botol air mineral. Katanya, arwah mahu buang air kecil. Tetapi, setelah sekian lama, saya terdengar bunyi anginnya keluar. Rupa-rupanya, dia juga mahu buang air besar. Nasib baik air mineral cukup untuk menyelesaikan proses istinjaknya. Nasib baik juga ada bekas air seperti gelas untuk diisi kopi atau teh yang biasanya digunakan oleh mamak-mamak kedai makan india.

Suasana sangat sunyi. Sememangnya hospital merupakan kawasan sunyi yang mendamaikan jiwa para pesakitnya. Jururawat-jururawat masih tekun bertugas di ruang luar wad. Kesungguhan mereka dalam bekerja sungguh memberikan inspirasi kepada saya ketika bekerja kelak. Kerjaya jururawat sememangnya ialah tugas yang sangat mulia di dunia selain menjadi guru. Atuk aku walaupun sesak nafas, tapi masih sempat memberitahuku sekiranya mahu tidur, gabungkan sahaja kerusi yang bersofa nipis itu. Hati saya begitu sayu. Sukar untuk saya melelapkan mata. Sekejap-sekejap, saya pandang semula jam yang tergantung pada wad atuk saya. Jam 12.00. Sekejap lagi saya pejam dan celik. Jam 2.30. Saya kaget kerana tubuh saya diselimuti oleh selimut pesakit. Saya hairan. Mungkin jururawat lelaki yang mesra itu yang menyelimutkan saya. Baik sungguh dia. Saya main agak sahaja. Mata dipejamkan semula. Sehinggalah 4.30. Kemudian barulah ayah datang menjemput saya kerana saya akan bersekolah. Itulah salam terakhir untuk atuk. Itulah kali terakhir saya kucupkan mulut pada tangannya yang lembik itu.

Tengahari itu, ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah, saya memberitahu ayahku bahawa saya tidak akan menemani atuk malam ini kerana alasan kerja sekolah. Ayahku tidak memberi sebarang reaksi. Bukan sebab niatku yang tidak ikhlas untuk menjaga atuk. tetapi saya fikir mungkin biarlah ahli keluarga lain pula yang menjaganya. Lebih2 lagi, saya pelajar. Saya bakal menghadapi SPM tahun ini.

Malam itu, malam jumaat. Sebelum itu, abah dan mummy ke hospital. Tiba-tiba, telefon saya berdering.

"Bang, tolong bacakan yasin ya? Untuk atuk..."

Mummy rupanya yang menelefon saya. Saya fikir, mungkin mummy mahu saya bacakan yassin buat atuk yang sedang sakit. Saya menurut seperti apa yang diberitahunya. Saya capai buku yasin dana mengajak adik bongsu saya untuk membaca. Perasaan seperti tidak enak.

"Bang, abang sudah baca Yassin?"

"Hmmm sudah mummy."

"Bang, kalau mahu tahu, masa abang baca yassin, atuk sudah tiada..."

Gugup. Gementar. Kaku Senyap. Desiran angin.

Innalillahwainnailaihirajiun...

Air mata sudah mula membasahi mata. Macam tidak percaya. Saya sangat sangat terkejut. Bagaikan mimpi.

Waktu itu, adikku sudah nyenyak menghasilkan air liur. Saya yang sememangnya seorang penangis tegar meneruskan aktiviti merembeskan air mata.

Sesampainya ke kampung, ketika kereta diberhentikan, air mataku sudah sedia untuk bergenang. Saya tidak kisah melihat ramainya saudara-mara yang hadir. Saya menangis lagi. Ya, saat itu mummy saya memeluk saya. Saya menangis, saat itu abah pula beritahu agar jangan menangis! Saya kisah apa? Saya tetap menangis. Tersedu-sedan, berhingus-hingus saya menangis. Menangis atas pemergiannya pada malam Jumaat yang hening ini. Sesungguhnya, meninggal pada malam Jumaat atau Hari Jumaat merupakan golongan yang mulia di sisi-Nya.

Saya menangis lagi. Auntie-auntie saya memujuk. Sebagaimana mummy saya. Saya tidak pernah merasai tangisan ini. Padahal sebelum ini, ketika nenek saya meninggal, saya hanya menangis ringan. Tapi atuk? Susah untuk saya ungkapkan betapa sayangnya saya pada atuk, betapa rindunya saya ingin menemani atuk solat Jumaat. Atuk sudah tiada. Acara menangisi atuk tetap saya teruskan, sehinggalah reda, mummy saya mengajak saya membaca surah Yassin. Walaupun membaca Yassin, dadaku tetap turun naik dan tersedu-sedan. Mahu membaca sepotong ayat pun bagaikan memerlukan masa yang agak lama.

Saya hairan mengapa saya sahaja orang yang menangis pada malam itu. Sedangkan, biasanya golongan mak cik-mak ciklah yang kuat meraung. Hinggalah hari keesokannya, hari penghulu minggu, saat sesi memberikan penghromatan kepada arwah, mak cik sulungku jatuh pengsan. Saya menangis juga, tetapi tidaklah sekuat dan sehebat lebatnya air mata saya mengalir malam Jumaat itu.

Terima kasih atas teman-teman Facebook yang mengucapkan salam takziah kepada arwah. Kematian itu di tangan Tuhan. Malah ketika saya sedang menaip ini, nyawa saya boleh bila-bila masa sahaja dicabut oleh Izrael atas kehendek Allah SWT.  Oleh itu, ingat-ingatlah selalu kematian. Perbanyakanlah amal jariah. InsyaALLAH, Tuhan pasti memuliakanmu.

Sekian, wasalam.

3 comments:

  1. salam takziah :)
    banyak banyak kan lah bersabar ...

    ReplyDelete
  2. salam takziah.....moga arwah atuk awak dicucuri rahmat....

    ReplyDelete